PUTRAJAYA: Tiga ibu hadir di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini hari ini untuk mendapatkan dokumen kewarganegaraan bagi anak mereka yang dilahirkan di luar negara.

Ia susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada Rabu lepas (22 Dis) yang menolak permohonan kerajaan dan memerintahkan kerajaan mengeluarkan dokumen kewarganegaraan kepada kanak-kanak berkenaan yang lahir di luar negara oleh ibu mereka yang merupakan rakyat Malaysia.

Berkongsi mengenai apa yang berlaku di JPN, wakil mereka, Presiden Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor dan Kuala Lumpur (Family Frontiers) Suriani Kempe berkata pegawai JPN telah memudahkan proses mendapatkan sijil pengesahan kewarganegaraan mereka, yang akan dikeluarkan dalam tempoh tiga bulan.

Selepas menerima sijil pengesahan kewarganegaraan, ibu berkenaan boleh memohon kad pengenalan Malaysia, MyKid atau MyKad untuk anak-anak mereka.

“Ini adalah hari yang mengujakan. Kunjungan ke JPN hari ini mengesahkan keputusan itu bahawa wanita Malaysia mempunyai hak yang sama untuk memberikan kewarganegaraan kepada anak-anak mereka,” katanya kepada media selepas menemani tiga ibu itu ke JPN iaitu Myra Eliza Mohd Danil, Adlyn Adam Teoh dan seorang lagi yang hanya mahu dikenali sebagai Devi.

Pada 9 Sept lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa bayi dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing secara automatik berhak mendapat kerakyatan negara ini.

Mahkamah turut memerintahkan pihak berkuasa untuk mengeluarkan dokumen berkaitan seperti kad pengenalan kepada kanak-kanak berkenaan.

Rabu lepas, Mahkamah Rayuan menolak permohonan kerajaan untuk menangguhkan perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi itu, sementara menunggu keputusan rayuan.

Kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pengarah JPN selaku perayu telah memfailkan permohonan penangguhan, sementara menunggu pendengaran rayuan mereka. Mahkamah Rayuan menetapkan 23 Mac tahun depan untuk mendengar rayuan perayu.

Dengan perkembangan itu, Suriani menasihatkan semua ibu yang terjejas dengan keadaan yang sama, agar pergi ke JPN terdekat untuk memohon MyKad atau MyKid untuk anak-anak mereka.

Myra Eliza, 30, ketika ditemui berkata beliau telah menerima borang permohonan daftar kelahiran luar negara dan akan menghantarnya secepat mungkin.

“Sebagai ibu, saya sangat gembira. Sejak anak perempuan saya berusia empat bulan, saya sudah berusaha mendapatkan status kewarganegaraan Malaysia tapi baru sekarang diluluskan.

“Sebelum keputusan mahkamah keluar, saya sangat sedih hanya kerana saya wanita dan berkahwin dengan lelaki bukan warganegara, saya tidak boleh ‘mewariskan’ kewarganegaraan Malaysia untuk anak saya,“ katanya.-Bernama