SEMPORNA: Dengan gelaran “Negeri Di bawah Bayu”, Sabah sememangnya cukup kaya dengan keindahan pulau-pulaunya yang mempunyai tarikan tersendiri serta menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.

Disajikan dengan panorama pulau yang air lautnya berwarna biru dan hijau jernih serta hamparan pasir pantai memutih, wajarlah Sabah diangkat sebagai destinasi percutian bertaraf dunia malah mendapat jolokan ‘Maldives Asia Tenggara’.

Awal September lepas, penulis bersama sekumpulan wakil media berkesempatan menyertai delegasi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) yang diketuai Menterinya Tan Sri Annuar Musa ke Sabah.

Kunjungan selama tiga hari dua malam yang bermula pada 8 hingga 10 September itu adalah untuk meninjau kemudahan telekomunikasi serta tahap keselamatan di beberapa buah pulau berpenduduk dan yang menjadi tumpuan pelancong di Semporna.

Antara yang kami kunjungi ialah Pulau Sipadan, salah sebuah daripada 20 buah pulau peranginan di perairan Semporna, yang terletak di pantai timur Sabah.

Memandangkan ini kali pertama penulis menjejakkan di Pualu Sipadan, segala yang dilihat begitu indah dan tidak hairlanlah ia digelar ‘syurga dunia’ kepada penyelam skuba. Ia juga dinobat antara 10 lokasi selam skuba tersohor dunia.

‘SYURGA’ DUNIA PENYELAM SKUBA

Ketibaan kami di jeti Pulau Sipadan disambut oleh pasukan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang ditempatkan di pulau itu serta kakitangan Unit Penyelidikan Marin Taman Pulau Sipadan.

Bukan sahaja panorama pulau yang indah, ia juga mempunyai kepelbagaian biologi marin di samping terdapat lebih 400 spesies ikan serta ratusan spesies karang ditemui di sekitar perairan pulau ini.

Keluasan daratan Pulau Sipadan ialah 13.5 hektar manakala kedalamannya kira-kira 600 meter dari dasar laut dan dibentuk oleh karang hidup. Luas keseluruhan Taman Pulau Sipadan ialah 16,860 hektar.

Selain dilitupi hutan rimbun dan menjadi kediaman pelbagai spesies burung tropika seperti helang laut, burung merpati kayu, burung raja, burung matahari serta kelawar buah, kawasan sekitar pulau ini juga turut menjadi tempat pendaratan penyu untuk bertelur.

Pulau Sipadan diisytiharkan sebagai tempat perlindungan burung seawal tahun 1993 dan pada tahun 2004 ia diwartakan sebagai Taman Laut dan semua kemudahan penginapan ditutup untuk terus melindungi khazanah semula jadi yang perlu dipelihara.

Pelancong yang ingin memasuki Taman Laut Pulau Sipadan mesti mendapat kebenaran daripada pihak pengurusan Taman-Taman Sabah dan mereka tidak dibenarkan untuk menginap di pulau berkenaan.

Sambil menikmati keindahan panorama pulau, kami turut dibawa meninjau kawasan sekitar yang turut menempatkan Pusat Penyelidikan dan Konservasi Penyu terutama Penyu Hijau dan Penyu Sisik. Pusat berkenaan boleh menampung sehingga 900 sarang penyu dalam satu-satu masa.

Anggota delegasi turut berpeluang melihat secara dekat ketam kelapa yang dimaklumkan adalah haiwan Invertebrata daratan yang terbesar di dunia, dan menjadi antara tarikan utama pelancong ke Pulau Sipadan.

Berdasarkan laporan kajian populasi ketam kelapa tahun 2015 hingga tahun 2021, terdapat 168 ekor ketam kelapa ditemui di pulau itu pada tahun 2021.

Menurut pegawai Unit Penyelidikan Marin Taman Pulau Sipadan, Hairy Sayadi, keunikan ketam itu ialah ia boleh memanjat pokok kelapa, menjatuhkan buahnya sebelum mengupas kulit menggunakan sepitnya yang kuat dan kemudian memakan isi kelapa.

RASAI KETENANGAN

Selesai di Pulau Sipadan, kami seterusnya menaiki bot laju menuju ke Pulau Kapalai, sebuah tebing besar yang timbul di permukaan Laut Celebes dan terkenal sebagai lokasi popular untuk penyelam skuba meninjau pelbagai spesies hidupan marin kecil.

Sebaik menjejakkan kaki di jeti, penulis sudah dapat merasai ketenangan suasana persekitaran Pulau Kapalai dengan air lautnya yang jernih berwarna hijau kebiruan-biruan. Tiada tanah dan pantai di sini, yang ada hanyalah tebing pasir. Kawasan pulau ditenggelami air laut akibat hakisan beratus tahun.

Ketibaan kami sekali lagi disambut oleh anggota ATM ESSCOM yang bertugas di sekitar pulau berkenaan.

Pulau Kapalai mempunyai kemudahan resort atau tempat peranginan bagi para pengunjung yang berminat untuk bermalam di situ dengan pelbagai aktiviti menarik turut ditawarkan antaranya bersnorkel, berenang, menyelam dan berkayak.

Chalet di pulau ini dibina menggunakan kayu dengan semua tiang dipacak kukuh ke dasar laut, dengan reka bentuk seni binaan Sabah.

Pengunjung juga boleh bersantai dalam air yang jernih di sekitar resort atau mendapatkan topeng menyelam permukaan dan ‘fin’ untuk melihat kehidupan marin dengan lebih jelas di dasar laut.

Jambatan kayu umpama pelantar dibina bagi menghubungkan sebuah chalet dengan chalet yang lain dan pengunjung yang berjalan di jambatan ini berpeluang melihat keindahan karang dan pelbagai spesies hidupan laut yang berenang di bawahnya.

Pengusaha resort mengindahkan kawasan sekitar di sepanjang jambatan dengan menanam pokok bunga dan pokok palma yang menjadi latar belakang yang cukup menarik untuk pengunjung merakam gambar.

INISIATIF KERAJAAN TINGKAT KESELAMATAN

Kemudahan bermalam untuk wakil delegasi disediakan di Pulau Mabul, juga pulau percutian tercantik yang mempunyai lebih daripada 4,000 orang penduduk.

Dari Pulau Sipadan ke Pulau Mabul hanya mengambil masa kira-kira 20 minit dengan menaiki bot, sementara dari pekan Semporna, perjalanan menaiki bot ke Pulau Mabul mengambil masa kira-kira 45 minit.

Di Pulau Mabul terdapat resort dengan chalet yang dibina di atas laut dan juga chalet di daratan di celah-celah pokok merimbun dan dipenuhi dengan pokok kelapa.

Pulau Mabul dianggap destinasi wajib dikunjungi pelancong yang ingin melakukan aktiviti menyelam kerana airnya yang jernih dan bersih serta kedalamannya kira-kira 25 hingga 30 meter memudahkan pengunjung untuk melihat pelbagai jenis hidupan laut.

Selain terdapat beberapa tapak menyelam bertaraf antarabangsa, Pulau Mabul turut dilengkapi dengan kemudahan seperti masjid untuk kegunaan penduduk beragama Islam yang mendiami perkampungan nelayan dan pelancong.

Penulis berkesempatan berbual dengan penduduk di perkampungan nelayan yang berkongsi kegembiraan mereka atas inisiatif yang dijalankan kerajaan bagi kemajuan sosioekonomi serta menjaga keselamatan penduduk sekitar.

Menurut Bikang Alif, 63, langkah menempatkan pasukan keselamatan ESSCOM menjadikan pulau berkenaan selamat untuk didiami dan dikunjungi oleh pelancong.

“Di pulau ini ada menara telekomunikasi, ini baik untuk kami dan anak-anak muda untuk menggunakan Internet, cuma kelajuannya boleh dipertingkatkan lagi untuk seluruh pulau ini,” kata nelayan yang mempunyai tujuh orang cahaya mata itu.

Imam Masjid Pulau Mabul, Morsyid Yasser Harun, 47, pula berkata, kesungguhan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan program yang melibatkan para penduduk banyak membantu meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.

“Kunjungan pelancong yang kini semakin ramai memberi rezeki tambahan kepada mereka yang terlibat dalam sektor pelancongan dan juga nelayan. Saya berharap pihak kerajaan mahupun NGO dapat membantu usaha penduduk untuk menambah baik kemudahan masjid dan membantu pengurusan sebuah madrasah yang diwujudkan untuk pengajian anak-anak di pulau ini,” katanya.

Anggota ESSCOM diberikan tanggungjawab melindungi keselamatan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) daripada sebarang bentuk ancaman keselamatan termasuk di kawasan perbatasan dan perairan Pantai Timur Sabah.

Operasi ESSCOM menggabungkan beberapa agensi keselamatan di bawah satu payung termasuk ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Terdapat empat elemen diperkenalkan dalam memberikan perlindungan kepada komuniti di ESSZONE iaitu meningkatkan kemampuan perisikan, pemantauan pengawalan pantai untuk 24 jam, meningkatkan kemampuan negara memintas sebarang ancaman laut dan penguatkuasaan undang-undang ketat dengan tindakan pantas ke atas ancaman.

KEMUDAHAN TELEKOMUNIKASI DIPERHEBAT

Sementara itu, Menteri K-KOMM, Tan Sri Annuar Musa yang juga ahli Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkata, kerajaan akan terus mempertingkat keselamatan di ESSZONE selari dengan kesungguhan kerajaan untuk menjaga kedaulatan negara.

Beliau berkata, atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan akan terus memberi tumpuan yang tinggi di kawasan itu bagi menjamin keselamatan rakyat di Sabah pada setiap masa.

“Kita faham juga apabila ada berita yang mungkin menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat yang mencari rezeki, yang berniaga, yang menjalankan aktiviti harian maka soal keselamatan (adalah) perkara yang paling penting.

“Pasukan komunikasi dikehendaki membuat liputan sepenuhnya perkara (berkaitan usaha keselamatan) yang sedang berjalan,“ katanya, sambil menambah, kerajaan berusaha memastikan setiap rakyat hidup dalam keadaan lebih baik dan sejahtera meskipun tinggal di kawasan yang jauh termasuk di pulau-pulau.

Sehubungan itu, kerajaan ingin memastikan kemudahan di Semporna terutama di kawasan pulau, dapat terus dipertingkat demi kesejahteraan rakyat dan pelancong.

“Sekarang kita sudah (hampir) bebas (daripada) COVID-19, pelancong asing akan datang ke Semporna, ada Pulau Mabul, Pulau Kapalai, Pulau Mataking dan Pulau Sipadan. Bila pelancong datang, penduduk Semporna dapat limpahan ekonomi, Sabah dan negara bertambah baik.

“Sebab tu sejauh mana, pulau mana, kerajaan tetap beri perhatian. Perdana Menteri tidak mahu ada rakyat yang ketinggalan,“ katanya ketika berucap pada majlis perasmian Program Merdeka@Komuniti Keluarga Malaysia di Pulau Mabul.

Annuar pada masa yang sama turut menambah, kemudahan telekomunikasi di pulau berpenduduk serta yang menjadi tumpuan pelancong termasuk di Semporna perlu ditingkatkan dengan kadar segera.

Di samping itu, telekomunikasi wajar diberi keutamaan di kawasan pulau kerana selain memberi kemudahan kepada penduduk, aktiviti pelancongan adalah antara skop yang mampu menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), katanya.-Bernama