ALOR SETAR: Perpustakaan Digital Kedah (KDL) adalah sebahagian usaha memangkin ekonomi digital dalam kalangan rakyat, selain merupakan evolusi baharu perpustakaan di negeri ini.
Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata KDL, yang dibangunkan kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), merupakan transformasi bangunan Memorial Tunku Abdul Rahman yang dilengkapi pelbagai teknologi dan kemudahan moden, serta koleksi digital yang boleh diakses melalui komputer dan peranti pintar.
“Penubuhan KDL merupakan satu inisiatif yang menerapkan penambahbaikan aspek digitalisasi dalam penyediaan kemudahan kepada orang ramai dan ia juga signifikan bagi mengukuhkan budaya membaca yang disesuaikan dengan ekosistem digitalisasi kini,“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian KDL yang disempurnakan Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Eksekutif NCIA Mohamad Haris Kader Sultan.
Muhammad Sanusi berkata KDL berpotensi menjadi pusat pembangunan maklumat digital dan menyokong penguasaan teknologi digital dalam kalangan masyarakat di Kedah.
Mengenai KDL, beliau berkata perpustakaan itu dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian satu dikenali sebagai 'The Tunku Mansion' yang menempatkan ruang membaca dan belajar peribadi, bilik permainan digital kanak-kanak dan bilik perbincangan.
“Bahagian dua iaitu tambahan perpustakaan baharu menempatkan kemudahan yang terdiri daripada dewan serbaguna, amfiteater, kemudahan telesidang dan galeri digital kontemporari yang memaparkan pameran maya berkaitan tokoh pemimpin negeri Kedah,“ katanya.
Sehubungan itu, Muhammad Sanusi mengharapkan kemudahan yang disediakan perpustakaan digital berkenaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat negeri ini.
Pembangunan KDL melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM15 juta dan bahagian dua telah mula dibuka kepada orang ramai Mac lepas.-Bernama