BESUT: Seorang pengiat seni ukir di Selatan Thailand bertekad untuk menimba ilmu berkaitan pelbagai cabang seni warisan Melayu di sini, untuk dibawa pulang dan disemarakkan di sana, selepas beliau melihat seni tradisi kaum Melayu di wilayah itu semakin ‘pudar’ walaupun wilayah berkenaan memiliki jumlah penduduk Melayu paling ramai di negara itu.
Wakil Pertubuhan Warisan Seni Tamadun Patani di Selatan Thailand Ku Nukman Ku Shamsudin berkata beliau melihat seni busana, seni bina rumah Melayu dan ukiran senjata tradisional Melayu semakin ‘tenggelam’ di wilayah itu, apabila generasi mudanya kelihatan tidak lagi berminat untuk memeliharanya.
Beliau berkata banyak faktor yang menyumbang kepada kemerosotan pelbagai cabang seni ini dalam kalangan penduduk di wilayah berkenaan, dan sekiranya tiada langkah diambil bagi menanganinya, adalah tidak mustahil lama-kelamaan ia akan terus pupus.
“Seni warisan itu nampak mekar di sini (Besut), kami akan belajar untuk kami bawa pulang kembangkan semula di tempat kami bagi membangkitkan serta menghidupkan kembali antaranya seni pembuatan hulu dan sarung senjata dan seni bina Melayu,” katanya ketika ditemui pada Program Ukir anjuran Pusat Seni Ukir Bakawali di Kampung Raja di sini, petang semalam.
Beliau merupakan delegasi dari Thailand yang hadir menyertai program sehari peringkat antarabangsa, julung kali dianjurkan di sini, dan program turut melibatkan peserta dari Singapura dan Indonesia.
Sementara itu Yang Dipertua Persatuan Penggiat Seni Ukir Kayu Malaysia (Pengukir) yang juga pemilik Pusat Seni Ukir Bakawali Norhaiza Nordin berkata, program sehari yang melibatkan pembabitan lebih 200 peserta itu mendapat sambutan menggalakan daripada pengunjung.
“Program ini mengumpulkan peminat dan pembuat senjata Melayu dari serata ceruk dan lebih menarik, mereka mengenakan busana tradisional Melayu dalam penyertaan mereka.
“Pengisian program ini antaranya pertandingan keris antik, pertandingan membuat hulu keris ukir, pertandingan golok dan pameran keris dan ukiran,” katanya yang juga Adiguru Kraf Negara.
Katanya lebih 200 bilah keris lama dipertandingkan, termasuk keris berusia lebih 100 tahun dan bernilai puluhan ribu.
“Program seumpama ini dianjurkan antaranya untuk mengangkat martabat pengukir baru dan pengukir sedia ada selain menaikkan semangat mereka agar terus mengembangkan kesenian Melayu ini,” katanya.-Bernama