MELAKA: Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) akan dikenali sebagai Perbadanan Melaka (MCORP) selepas Rang Undang-undang Enakmen Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (Pindaan) 2022 diluluskan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka hari ini.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali ketika membentangkan usul berkenaan berkata pindaan terhadap Enakmen Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka 1971 (No.1 Tahun 1971) itu adalah bagi tujuan komersial serta menambah baik fungsi sedia ada dan menambah fungsi baharu agensi kerajaan negeri berkenaan.
“Setelah hampir empat dekad mengguna pakai Enakmen Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka 1971 (No.1 Tahun 1971), PKNM berpendirian bahawa terdapat keperluan untuk meminda beberapa peruntukan dalam enakmen tersebut bagi menyesuaikannya dengan keadaan dan situasi semasa mengikut perubahan masa dan zaman.
“Pindaan tersebut juga adalah perlu bagi memastikan agenda dan kehendak pembangunan ekonomi di Melaka akan dapat berjalan dengan lebih berkesan dan menyeluruh,“ katanya.
Sulaiman berkata pindaan berkenaan diharap bukan sahaja menambah baik peruntukan-peruntukan enakmen sedia ada tetapi juga membolehkan PKNM meningkatkan urusan pengurusan pentadbiran dan agenda pembangunan ekonomi secara lebih efektif.
“Ini memandangkan pindaan kali ini agak lebih komprehensif kerana tidak hanya bersifat ‘definitional’ (takrifan) tetapi juga merangkumi pindaan yang berkaitan dengan operasi seperti penjenamaan nama serta perubahan fungsi yang lebih meluas dan tidak menjurus kepada bidang kepakaran tertentu atau terhad.
“Cadangan penjenamaan semula PKNM kepada Perbadanan Melaka atau secara komersialnya dikenali sebagai MCORP, bertujuan memperkukuh nama PKNM seiring dengan hala tuju baharu Negeri Melaka Menuju Negeri Lestari agar dapat membantu kerajaan negeri memacu ekonomi Melaka dengan lebih berdaya maju dan mapan.
“Ia juga penting agar PKNM terus kekal relevan sebagai nadi penggerak utama kepada pembangunan Melaka,“ katanya.
Beliau berkata cadangan penjenamaan semula berkenaan adalah berciri komersial dan mempunyai elemen korporat selari dengan transformasi era semasa, serta merupakan satu daripada strategi PKNM untuk menarik pelabur tempatan dan asing mengadakan jaringan perniagaan dalam usaha merancakkan lagi iklim pelaburan khususnya di Melaka.
“Penjenamaan semula PKNM dengan mengembangkan bidang dan fungsi sedia ada serta menonjolkan imej baharu yang akan mewujudkan persepsi positif kepada pihak berkepentingan, para pelanggan dan warga kerja PKNM,“ katanya.
PKNM sebelum ini berperanan dalam memajukan pelbagai bidang ekonomi dan sosioekonomi di Melaka terutamanya dalam empat bidang utama iaitu Perindustrian, Pelancongan, Perumahan, serta Perniagaan dan Perdagangan.
Usul berkenaan diluluskan selepas disokong 19 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), manakala tujuh ADUN tidak menyokong dan dua Adun tidak hadir.-Bernama