• 2025-10-05 06:39 PM

KAPIT: Polis meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau kenalan rapat tampil ke balai polis susulan penemuan mayat lelaki di Batang Rajang hari ini.

Ketua Polis Daerah Kapit DSP Rohana Nanu berkata polis menerima maklumat kira-kira 11.25 pagi berhubung mayat yang ditemukan orang awam terapung di Wharf Kapit.

Beliau berkata bagaimanapun sebaik anggota polis tiba, mayat berkenaan dipercayai telah dihanyutkan arus deras sebelum ditemukan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia di Teluk Selindung pada 12.10 tengah hari.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kapit untuk tindakan lanjut menurut kenyataan beliau.

Rohana berkata mangsa berketinggian kira-kira 170 sentimeter dan berkulit cerah selain terdapat tatu perhiasan di paha kanan serta di bahu kiri dan kanan.

Beliau berkata lelaki itu dipercayai rakyat tempatan berusia 40-an dan semakan laporan polis mengenai orang hilang bermula 2 Oktober hingga kini tidak mempunyai kaitan dengan mayat berkenaan. – Bernama