Your Title

PORT DICKSON: Penduduk Taman Bagan Kurnia, Kuala Lukut di sini, melalui detik cemas apabila puting beliung dengan bunyi yang menakutkan membadai kawasan perumahan itu pagi tadi.

Menceritakan situasi itu, Ardila Alia Mohd Ali, 22, berkata kejadian tersebut yang berlaku kira-kira jam 10.30 pagi tadi, merupakan pengalaman pertamanya sejak hampir lima tahun tinggal di kawasan itu.

Menurut anak sulung daripada tujuh adik-beradik itu, ketika kejadian beliau sedang keluar membeli sarapan, namun terpaksa berpatah balik kerana melihat atap rumah tercabut dan terbang berpusing di udara.

“Kejadian puting beliung ini sangat menakutkan, pertama kali saya lihat serpihan atap berterbangan di udara dengan angin yang kuat, ketika itu saya bersama adik-adik di rumah, ibu keluar membawa salah seorang adik saya untuk suntikan vaksin Covid-19,“ katanya kepada Bernama.

Pelajar Universiti Malaysia Kelantan itu berkata akibat bencana itu, khemah bersaiz 20x20 kaki yang dipasang di hadapan rumah untuk berniaga mengalami kerosakan, selain atap rumah turut tercabut.

Sementara itu, seorang pekerja swasta Noorsila Abdul Jali, 37, berkata bencana itu menyebabkan sengkuap atau awning rumahnya mengalami kerosakan yang teruk.

Katanya puting beliung itu berlaku dalam tempoh kurang daripada 15 minit namun amat menggerunkan.

“Dalam tempoh seminggu dua ini memang hujan lebat dan angin kuat berlaku dan akibat kejadian ini juga, serpihan atap kilang berhampiran iaitu kira-kira 60 meter dari kawasan perumahan ini turut berterbangan,“ katanya.

Dalam pada itu, Adilah Mohd Yunus, 44, berkata ibu mentuanya Siti Mariam Abu, 86, mengalami kecederaan di bahagian kepala selepas siling rumah mereka terjatuh ekoran pusaran angin itu.

Menurutnya warga emas itu menerima enam jahitan dan kini dirawat di Hospital Port Dickson.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Syukri Md Nor berkata sebanyak 10 buah rumah mengalami kerosakan terutamanya di bahagian bumbung.

Katanya seramai enam anggota APM telah selesai melakukan tinjauan dan pemeriksaan di taman perumahan itu pada jam 2.40 petang tadi.-Bernama