MELAKA: Kerajaan negeri menyasarkan 30,000 pengunjung sepanjang berlangsungnya Pesta Deepavali Melaka 2022 pada 8 hingga 24 Okt ini.
Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam berkata pelbagai program telah diatur termasuk gerai jualan bagi memberi kemudahan masyarakat beragama Hindu membuat persiapan menyambut perayaan itu.
“Sebanyak 50 khemah bagi Bazar Deepavali turut disediakan di Jalan Bendahara dalam usaha kita membantu usahawan kecil memulihkan perniagaan selepas dua tahun terjejas akibat pandemik.
“Antara gerai-gerai jualan itu seperti pakaian, aksesori, kuih-muih seperti muruku, manisan dan sebagainya untuk pengunjung membuat persiapan awal dan meraikan perayaan dengan meriah tahun ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Shanmugam berkata pelbagai aktiviti lain turut dirancang seperti persembahan kebudayaan dan artis yang bakal diadakan secara harian di pentas utama di Padang Nyiru bermula 18 Okt untuk merancakkan sambutan itu.
Mengulas lanjut, beliau berkata kawasan ‘Little India Melaka’ itu juga akan dihiasi dengan lampu-lampu dan perhiasan bagi memeriahkan suasana sambutan pesta cahaya pada tahun ini.
“Kita percaya menerusi penganjuran program ini, ia juga secara tidak langsung dapat memberi nilai tambah aktiviti pelancongan sekali gus menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini,” katanya.-Bernama