SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan tahniah kepada pelumba negara Syarifuddin Azman yang telah mengharumkan nama Malaysia selepas muncul juara saingan CEV Moto3 Remaja Dunia di Litar Catalunya, Sepanyol semalam.

Syarifuddin,19, pelumba kelahiran Puchong itu telah melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menaiki podium menewaskan pelumba tuan rumah.

Menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook, Selangor Royal Office hari ini, baginda berdua berharap dengan kejayaan yang dikecapi oleh Syarifuddin dapat membakar semangatnya untuk melakar lebih banyak kejayaan di peringkat antarabangsa dan seterusnya menjadi inspirasi kepada anak-anak muda lain.

Syarifuddin yang bermula di petak ke-10 menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan catatan masa 29 minit 32.553 saat, mengatasi dua pelumba Sepanyol David Munoz Rodriguez dan Jose Antonio Rueda Ruiz, masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Syarifuddin atau lebih dikenali sebagai ‘Damok’ kini menduduki tangga keenam keseluruhan dengan mengumpul 30 mata selepas tiga pusingan. -Bernama