GUA MUSANG: Dalam meneruskan warisan tarian singa dari leluhur, Pasukan Tarian Singa Tokong Kwan Tai Meow Gua Musang memiliki keunikan tersendiri apabila sebahagian besar ahlinya merupakan golongan muda berumur enam hingga 30 tahun.
Dalam usia yang muda Chong Won Soon, 26, merupakan boleh dianggap sebagai penggiat senior Pasukan Tarian Singa berkenaan, dan menurutnya ramai dalam kalangan generasi muda Cina di daerah ini menunjukkan minat yang mendalam untuk meneruskan kelangsungan tradisi tarian singa atau Wushi ini.
Beliau yang mula aktif sejak 2019 lepas berkata penggerak tarian singa bukan sahaja perlu mendalami pelbagai gerak badan dalam tarian, malah mereka juga pasukan sama yang memainkan beberapa alat muzik utama sepanjang persembahan berlangsung.
“Terdapat lebih 10 gerakan dalam tarian singa yang berfungsi untuk membezakan persembahan dilakukan sama ada untuk perayaan Tahun Baru Cina ataupun untuk acara yang lain. Penggerak tarian singa perlu mengetahui semua gerakan ini mengikut rentak muzik yang dimainkan.
“Untuk muzik pula kita perlu membuat bunyi sekuat yang boleh sebagai cara untuk menghalau ‘benda jahat’. Ketika Tahun Baru Cina, tarian singa bersama paluan gendang dan gong berserta hentakan simbal dilakukan untuk membuang aura yang tidak baik,” katanya ketika ditemui pemberita di Tokong Kwan Tai Meow, di sini hari ini.
Mengulas lanjut Chong berkata ketika perayaan mengikut kalendar Cina, mereka akan mengadakan persembahan tarian ini bermula dari hari pertama sehingga hari ke-15 Tahun Baharu Cina.
“Jadi untuk menjaga stamina kami berlatih tiga kali seminggu dari 7 petang sehingga 10 malam pada setiap malam hari Isnin, Rabu dan Jumaat semata-mata untuk hari perayaan nanti,” katanya.
Beliau berkata tiada bayaran dikenakan bagi setiap tarian yang dipersembahkan, tetapi biasanya selepas selesai membuat persembahan penonton akan memberikan angpau sebagai tanda penghargaan.
Bagi pelajar Tingkatan Lima dari Sekolah Menengah Tengku Indera Petra (SMKTIP) 1, Chore Yie Kian, 17, beliau sanggup meluangkan masa menghadiri sesi latihan untuk memperbaiki kemahiran tarian dan bermain alat muzik pasukan setiap kali sebelum membuat persembahan.
“Saya mempelajari seni tradisi kaum cina ini dari kecil lagi. Saya biasanya akan pastikan aktiviti ini tidak mengganggu pembelajaran kerana waktu latihan hanya diadakan pada sebelah malam,” katanya.
Pelajar Choo Hao Yuan, 17, dari SMKTIP 2 pula berpendapat golongan muda terutamanya kaum Cina perlu mempelajari seni persembahan ini untuk memelihara warisan tinggalan nenek moyang dahulu. -Bernama