IPOH: Lebih 400,000 penganut beragama Hindu dari seluruh negara termasuk pelancong asing dijangka mengunjungi Kuil Sri Subramaniar di Gunung Cheroh di sini bagi meraikan perayaan Thaipusam pada kali ini.
Pengerusi kuil, M. Vivekanda berkata kehadiran orang ramai pasti memeriahkan kembali sambutan di kuil yang berusia lebih 100 tahun berkenaan bagi upacara keagamaan termasuk menyempurnakan nazar masing-masing berikutan tiada sekatan pergerakan seperti sebelum ini akibat COVID-19.
“Sebanyak 1,000 kavadi akan terlibat sepanjang perarakan bermula dari Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Sungai Pari, Buntong pada 7 malam ini sehingga ke kuil di Gunung Cheroh,“ katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata setakat ini persiapan menyambut perayaan Thaipusam selesai sepenuhnya dengan bantuan pihak polis yang akan membuat kawalan lalu lintas dan pemantauan sekitar lokasi perarakan.
Katanya lebih 200 khemah jualan disediakan bagi orang ramai mendapatkan makanan dan minuman serta barangan sembahyang bagi melaksanakan upacara keagamaan.
Selain itu, Vivekanda berkata pihak kuil dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) turut menyediakan kemudahan tong sampah dan mereka dinasihatkan menjaga kebersihan sekitar dengan tidak membuang sampah merata-rata.
“Kami juga menyediakan beberapa tandas bergerak bagi keselesaan para pengunjung ketika sambutan ini selain menyediakan tempat khas bagi orang kurang upaya dan warga emas,“ katanya.
Beliau menegaskan orang ramai tidak dibenarkan membawa minuman keras dan melakukan aktiviti berbahaya seperti membakar mercun kerana ia antara perkara dilarang pihak berkuasa.
Pada tahun lepas, prosedur operasi standard (SOP) sambutan perayaan itu antaranya menetapkan hanya upacara ‘paal koodam’ atau menjunjung belanga mengandungi susu, aktiviti sembahyang dan perjalanan pedati, dibenarkan pada Thaipusam.
Jumlah kehadiran pada sambutan lalu juga ditetapkan mengikut kuil, manakala acara kavadi serta gerai sementara tidak dibenarkan selain upacara sembahyang dijalankan secara bersesi sementara perjalanan serta pergerakan kereta pedati pula dibenarkan mengikut SOP ditetapkan.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan dilaporkan berkata beberapa jalan di sekitar daerah Ipoh akan ditutup secara berperingkat bermula 6 petang ini hingga Selasa sempena perarakan sambutan Thaipusam.
Kemuncak perayaan Thaipusam yang akan disambut pada Selasa ini diadakan di dua lokasi iaitu di Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh, Jalan Raja Musa Aziz dan Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Sungai Pari, Buntong. -Bernama