ALOR GAJAH: Sebuah syarikat logistik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Gajah di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kemalangan yang mengorbankan tujuh nyawa di Kilometer (KM) 204 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara pada 23 Dis lepas.
Syarikat yang diwakili Pengurus Operasi Ng Chee Keong, 36, selaku Orang Kena Saman (OKS) itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dr Teoh Shu Yee.
Syarikat berkenaan didakwa melanggar syarat lesen membawa muatan serbuk simen jenis OPC seberat 68,260 kilogram (kg), lebih 16,260kg daripada had berat yang dibenarkan iaitu 52,000kg kira-kira 8.30 malam, 23 Dis lepas di KM204 PLUS arah selatan.
Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 57(1)(b)(vi) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM1,000 hingga RM500,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya serta boleh dilucuthak, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Mohd Asri Abd Rahman Sidik manakala syarikat terbabit diwakili peguam Chew Jee San.
Mahkamah menetapkan 8 April depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.