JASIN: Sebuah wad isolasi khas bagi rawatan penyakit berjangkit bakal dibina di Hospital Melaka menjelang tahun depan membabitkan kos RM1.3 juta.
Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata projek hasil usaha sama Hospital Melaka dan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) itu telah diluluskan dengan dana RM1 juta adalah sumbangan daripada organisasi berkenaan.
“Kita masih lagi menunggu (dana tambahan) bagi mencukupkan peruntukan RM300,000 untuk pembangunan wad tersebut yang mampu menempatkan sekitar 40 hingga 50 katil pesakit.
“Dengan adanya wad tersebut ia akan berfungsi seperti unit kecemasan untuk langkah-langkah pencegahan penyakit berjangkit seperti Covid-19 dan lain-lain,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Merlimau, Lipat Kajang di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Dr Muhamad Akmal berkata pelaksanaan tempat meletak kenderaan berpusat di Taman 1 Lagenda untuk kakitangan dan pelawat Hospital Melaka ditunda kepada 1 Nov depan.
Beliau berkata sebanyak 200 tempat letak kenderaan berpagar dan berpenjaga disediakan di situ dengan kadar caj dikenakan adalah serendah RM1 bagi satu jam manakala untuk kakitangan hospital kadar pas bulanan masih dalam perbincangan untuk caj minimum.
“Langkah ini bagi mengurangkan masalah kesesakan kenderaan di Hospital Melaka berikutan kawasan sedia ada tidak mampu menampung jumlah yang ada selain keutamaan diberikan kepada pemandu warga emas, ibu mengandung, orang kurang upaya dan kakitangan bagi kes-kes kecemasan.
“Bagi waris yang membawa pesakit atau pelawat datang bersama keluarga mereka boleh menurunkan penumpang di kawasan disediakan dalam hospital terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata pihak hospital juga akan menambah jumlah kakitangan untuk membantu pesakit yang diturunkan untuk mendaftar atau membawa ke mana-mana jabatan sementara menunggu waris atau penjaga mereka datang semula ke situ.
Katanya operasi tempat meletak kenderaan berpusat itu akan beroperasi bermula pukul 6 pagi hingga 10 malam dengan kekerapan bas ulang-alik disediakan Panorama adalah antara 10 hingga 15 minit masa menunggu.-Bernama