Your Title

Wan Azizah melancarkan Fasa 3 Program Saringan Serviks Percuma

KUALA LUMPUR: Fasa 3 Program Saringan Serviks Percuma Etiqa bersama Yayasan ROSE (Removing Obstacles to Cervical ScrEening), telah dilancarkan oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail, Penaung PUSPANITA (Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia) sebagai sebuah inisiatif untuk menghapuskan kanser serviks di Malaysia.

Dibiayai oleh Etiqa dan dilaksanakan oleh Yayasan ROSE, program satu tahun, peringkat kebangsaan ini bernilai RM1.22 juta, menyasarkan untuk menyaring 5,500 orang wanita berumur dalam lingkungan 30 hingga 65 tahun daripada komuniti B40.

Sejak penubuhan program ini, para wanita yang layak telah disaring melalui kaedah saringan serviks inovatif ROSE dengan hanya menggunakan swab kendiri yang pantas, mudah dan tidak menyakitkan, berbeza daripada kaedah ujian pap konvensional. Sampel yang diperoleh itu akan dihantar ke makmal ROSE untuk ujian polymerase chain reaction (PCR) human papillomavirus (HPV) dan keputusan ujian tersebut akan dihantar melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dalam masa tiga minggu. Untuk para wanita yang telah diuji positif HPV, Pusat Perhubungan ROSE akan merujuk mereka ke hospital kerajaan yang berhampiran untuk rawatan susulan. Namun, para wanita yang berada di kawasan pedalaman mungkin akan menolak rawatan susulan tersebut atas pelbagai sebab. Antaranya adalah kos rawatan, jarak ke hospital berdekatan dan kos perjalanan. Oleh itu, Fasa 3 program Etiqa dan ROSE ini memperkenalkan rawatan kolposkopi secara langsung supaya para wanita yang berada di kawasan pedalaman boleh mendapat rawatan di komuniti mereka.

Rawatan langsung ini merangkumi penilaian awal dengan menggunakan alat kolposkopi mudah alih yang mampu menghasilkan imej serviks yang berkualiti tinggi. Alat itu juga boleh dihubungkan dengan telefon pintar untuk pengimejan yang mudah sekiranya sebarang konsultasi atas talian diperlukan. Ketika penilaian juga, mereka yang menghidap virus pra-kanser akan dirawat secara langsung dengan menggunakan Portable Thermal Coagulator. Oleh itu, disamping menyediakan jalan penyelesaian inovatif kepada pengesanan HPV pra-kanser, program ini akan memperkasakan para wanita untuk mendapatkan rawatan, yang akan menyelamatkan lebih banyak nyawa.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail, Penaung PUSPANITA (Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia).

Turut hadir di majlis ini adalah Pengerusi Maybank Ageas Holdings Berhad, Datuk R. Karunakaran, syarikat induk Etiqa General Insurance Berhad, Etiqa Life Insurance Berhad, Etiqa General Takaful Berhad, and Etiqa Family Takaful Berhad, Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Life Insurance Berhad, Paul Low Hong Ceong, Pengerusi Yayasan ROSE, Profesor Datuk’ Dr Adeeba Kamarulzaman, Pengasas dan Pemegang Amanah Yayasan ROSE, Profesor Dr Woo Yin Ling, , dan Yang DiPertua PUSPANITA, To’ Puan Seri Norizam Che Mohd Nor,

Dalam ucapan beliau, Datuk R. Karunakaran, Pengerusi Maybank Ageas Holdings Berhad berkata, “Kami amat berbesar hati untuk menjadi ejen perubahan dalam menangani barah ketiga paling biasa berlaku dalam kalangan wanita di Malaysia. Dengan sokongan berterusan daripada rakyat Malaysia, Etiqa dengan bangganya memperkenalkan Fasa 3 Program Saringan Serviks Percuma Etiqa bersama Yayasan ROSE. Memulakan fasa baharu ini, kami berharap agar dapat membantu lebih ramai lagi wanita dan ahli keluarga mereka dengan menyediakan kemudahan rawatan dan saringan percuma ini. Dengan kaedah pencegahan yang betul, kami percaya kanser serviks dalam kalangan rakyat Malaysia mampu dihapuskan dan menyelamatkan nyawa mereka.”

Tambah beliau, “Program Saringan Serviks Percuma Etiqa bersama Yayasan ROSE telah mendapat pengiktirafan di Sustainability & CSR Malaysia Awards 2022. Selari dengan visi korporat Etiqa ‘Making the World a Better Place”, dan disokong oleh rakyat Malaysia, ini akan membakar semangat kami dalam memperjuangkan usaha murni kearah perubahan ini. Kepada Yayasan ROSE, terima kasih kerana bekerja keras dalam mendekati komuniti yang memerlukan dalam Fasa 1 dan 2, kini tibanya untuk menjayakan Fasa 3!”

Profesor Dato’ Dr Adeeba Kamarulzaman, Pengerusi Yayasan ROSE berkata, “Terima kasih dengan tajaan Etiqa, kami berbesar hati untuk memperkenalkan alat Kolposkopi Mudah Alih yang membolehkan anggota sukarela perubatan mengembara bertemu komuniti luar bandar dan pedalaman bagi menyediakan rawatan kepada wanita yang disaring positif untuk HPV.

Dengan adanya alat baharu ini, para wanita di kawasan luar bandar berpeluang untuk mendapatkan rawatan dan penjagaan sokongan yang sepatutnya.”

“Diklasifikasikan sebagai barah ketiga paling biasa dalam kalangan para wanita di Malaysia, kanser serviks adalah kanser yang mampu dicegah sekiranya mendapat saringan awal dan rawatan yang berpatutan.”

“Program ROSE merangkumi semua aspek saringan kanser serviks termasuk pensampelan kendiri, ujian HPV dan platform kesihatan digital menggunakan teknologi mudah alih bagi memastikan para wanita yang memerlukan rawatan susulan mendapat rawatan yang sewajarnya.” ujarnya lagi.

Paul Low, Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Life Insurance Berhad berkata, “Etiqa sentiasa berdedikasi untuk berkhidmat untuk komuniti dan pelanggan kami. Kami berbesar hati untuk memainkan peranan dalam menyokong wawasan melihat lebih ramai wanita peka akan bahayanya kanser serviks dan meyakinkan mereka untuk membuat saringan. Program ini direka khas agar para wanita dapat mengikuti langkah mudah seperti swab kendiri yang menjamin privasi jika dibandingkan dengan kaedah pap smear yang tidak selesa, memalukan dan perlu dilaksanakan oleh para doktor di klinik atau hospital.”

Profesor Dr Woo Yin Ling, Pengasas dan Pemegang Amanah Yayasan ROSE berkata, “Program ROSE telah mencapai satu tahap baharu dalam saringan serviks dengan adanya alat kolposkopi mudah alih ini. Dengan alat ini, kami dapat mendekati lebih ramai wanita melalui program jangkauan kami, terutamanya di kawasan pedalaman dan memberikan rawatan secara langsungyang sewajarnya kepada mereka yang disaring positif untuk HPV. Dengan alat ini juga, Program ROSE boleh kembali ke kawasan pedalaman terdahulu yang telah mendapat saringan PCR HPV kendiri untuk memberikan rawatan kepada para wanita yang disaring positif HPV yang belum berkesempatan untuk menjalani rawatan di hospital berdekatan. Ini boleh meningkatkan tahap keyakinan wanita kerana mereka dapat menerima rawatan susulan yang merupakan pendekatan integrasi saringan serviks Program ROSE.”

Tambah Profesor Dr Woo, “Program ROSE akan meneruskan usaha untuk mendekati komuniti dengan bekerjasama dengan pemimpin masyarakat dan badan berkaitan untuk memastikan capaian saringan yang lebih luas untuk wanita yang kurang berkemampuan di kawasan terpencil. Setakat ini, Program ROSE telah diperkenalkan kepada lebih 150 klinik kesihatan di 12 negeri. 28 hospital kerajaan mesra ROSE dengan lebih 90 petugas kesihatan profesional yang kini terlibat untuk menyediakan rawatan susulan untuk wanita yang telah diuji positif melalui program kami. Kami berterima kasih di atas sokongan padu dan pencapaian untuk Program ROSE.”

Dilancarkan pada bulan Julai 2019, Fasa 1 dan 2 program ini telah menyaring 13,500 wanita daripada golongan B40 di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak. Melalui saringan itu, lebih 800 orang wanita telah disahkan positif untuk HPV dan dirujuk ke hospital berhampiran mereka untuk rawatan sebelum ia berubah menjadi kanser serviks.