PETALING JAYA: ACP Wan Azlan Wan Mamat(gambar) dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Subang Jaya baharu menggantikan SAC Abd Khalid Othman yang kini menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan.
Wan Azlan sebelum ini adalah Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Polis Negeri Sembilan.
Majlis serah terima tugas berkenaan disaksikan Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed dan turut dihadiri barisan kepimpinan tertinggi Ibu Pejabat Polis Selangor.
Sementara itu, Wan Azlan dalam ucapannya berkata beliau berharap anggota IPD Subang Jaya dapat memberikan kerjasama sepenuhnya agar beliau dapat meneruskan kerja-kerja cemerlang Abd Khalid.
“Ketua polis daerah sebelum ini telah melakukan kerja yang cemerlang dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat di sini,“ katanya pada majlis berkenaaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di sini hari ini.
Arjunaidi dalam ucapannya berkata, beliau yakin Wan Azlan mampu menggalas tanggungjawab baharu yang diberikan dengan penuh amanah dan komitmen.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan terhadap khidmat bakti selama setahun sembilan bulan Abd Khalid sebagai ketua polis daerah, sumbangan dan pencapaian anda di Subang Jaya sentiasa membanggakan,“ katanya.-Bernama