Kerajaan akan teliti semula syarat nilai ambang lapan juta pengguna untuk pelesenan media sosial bagi menangani kemudaratan dalam talian dengan lebih menyeluruh
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti semula syarat pelesenan media sosial khususnya nilai ambang lapan juta pengguna.
Kajian semula ini susulan kebimbangan kemudaratan dalam talian boleh berlaku walaupun platform mempunyai bilangan pengguna lebih kecil.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil merujuk kepada insiden salah guna fungsi kecerdasan buatan (AI) Grok di aplikasi X.
Beliau berkata platform X dikecualikan daripada pelesenan kerana syarikat itu memaklumkan tidak mempunyai lapan juta pengguna di Malaysia.
Kes melibatkan aplikasi itu bersifat hibrid memandangkan X ialah platform media sosial manakala Grok pula merupakan aplikasi AI.
“Memandangkan insiden yang agak besar seperti ini telah berlaku, maka kita akan menilai semula had nilai ambang lapan juta pengguna kerana kemudaratan dalam talian tidak semestinya tidak berlaku walaupun jumlah penggunanya kurang daripada nilai ambang itu,” katanya.
Fahmi berkata ruang ini agak hibrid dan memerlukan kementerian serta MCMC meneliti aspek kawal selia.
Beliau menekankan ia bagi memastikan isu kemudaratan dalam talian dapat ditangani dengan lebih menyeluruh.
Beliau berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.








