SEEKOR anjing jalanan di Tawau, Sabah baru-baru ini ditemui oleh orang ramai dalam keadaan disiat hidup-hidup, dipercayai dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab.

Anjing malang itu mengalami kecederaan mengerikan yang menyebabkan hampir separuh kulit bahagian belakangnya terkoyak.

Tambahan pula, anjing itu turut mengalami luka dalam di bahagian perut, kerosakan otot yang teruk di paha belakang kanan dan luka patah terbuka di buku lali kanan.

Selepas ditemui oleh pemilik sebuah kedai, ahli-ahli cawangan Persatuan Pencegahan Kekejaman terhadap Haiwan (SPCA) di Tawau segera merawat haiwan itu dan membawanya ke klinik veterinar terdekat.

Menurut Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) dalam hantaran Instagram mereka pada hari Rabu, anjing itu mati akibat kecederaannya walaupun telah menjalani pembedahan selama tiga jam di Klinik Veterinar & Pembedahan Noki.

SAFM selanjutnya berkata laporan mengenai kejadian itu telah dibuat kepada polis dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

“SAFM mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam yang mengerikan ini.

“Kekejaman seperti ini tidak mempunyai tempat dalam masyarakat kita, dan kami menggesa pihak berkuasa untuk bertindak pantas membawa pelaku ke muka pengadilan,“ katanya.

Persatuan tersebut menyeru individu yang bertanggungjawab untuk didakwa di bawah Seksyen 18 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015, yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000, penjara tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

SAFM telah membuat rayuan untuk siasatan menyeluruh ke atas kes itu dan menggesa saksi mata atau sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat berkaitan untuk membantu pihak berkuasa.

Laporan mengenai penderaan haiwan boleh dibuat kepada SAFM melalui talian hotline mereka di 013-7066770.