USAHAWAN dan pempengaruh, Khairul Aming berkongsikan rekod jualannya untuk tahun 2024 iaitu RM 24 juta bersamaan 110% peningkatan berbanding tahun sebelumnya.
Melalui hantaran video di akaun media sosialnya pada Selasa 18 Mac, dia berkongsikan kejayaan syarikatnya itu dan turut berkongsikan pengalaman serta turut menghargai sokongan rakyat Malaysia buat dirinya.
Selain itu, dia juga mengaitkan perkembangan itu dengan perubahan strategik dalam e-dagang, terutamanya kuasa penstriman langsung (live streaming).
“Daripada dua tahun lepas, KA noticed yang market e-commerce sudah mula beralih ke arah live stream. Dimana interaction dengan customer menjadi lebih kuat dimana kita boleh dapatkan real -time conversation. Sales conversion juga jauh lebih tinggi ketika live stream, ” katanya di dalam video tersebut.
“Daripada jumlah jualan RM42 juta itu, 70% sebenarnya daripada live stream,” tambahnya.
Khairul Aming atau lebih mesra disapa KA juga berkongsikan perubahan yang dilakukannya dari segi pengeluaran. Terdahulu dia tidak mampu mengeluarkan produk mengikut permintaan yang menyebabkan jumlah jualan menjadi terhad.
“Kalau sebelum ini Sambal Nyet boleh produce sebanyak 1000 hingga 3000 unit sehari, which is tidak memenuhi permintaan yang kita ada. Menyebabkan produk sold out dengan sangat-sangat cepat, namun sales akan jadi limited.”
KA juga mengumumkan perancangan mereka untuk tahun ini, iaitu pembukaan kilang ketiganya dan penambahan produk.
“Kita akan expand untuk kilang yang ketiga, yang akan beroperasi tahun ini juga dekat Kelantan.”
“Maybe kita akan tambahkan produk kita juga, maybe Q3 atau Q4, nanti akan diumumkan,” tambahnya.
KA juga berkata dia berhasrat untuk mengembangkan lagi pasukannya dan ingin keluar negara untuk menuntut lebih banyak ilmu, lebih-lebih lagi dalam pemasaran secara langsung (live marketing).
Beliau juga mengumumkan rancangan untuk program mentor-menti bagi berkongsi pengetahuannya, menyatakan bahawa beliau ingin membantu pemilik perniagaan PKS berkembang.
“KA nak bimbing dan share dengan mereka segala ilmu yang KA ada, supaya kita sama-sama tolong content creators, affiliates, dan juga local sellers ini untuk kembangkan lagi dunia digital e-commerce dekat Malaysia,” katanya.
Pada akhir video, dia berterima kasih kepada pasukannya yang bekerja keras, selain itu KA juga berterima kasih kepada semua rakyat malaysia yang menyokong perniagaannya daripada mula hingga lima tahun berniaga.
Rata-rata netizen juga berkongsi rasa gembira dengan pencapaiannya, juga memberikan sokongan kepada Khairul Aming di ruangan komen.