KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan membina lebih banyak premis tamu desa di Sabah dan Sarawak pada tahun ini sebagai usaha meningkatkan kemudahan gerai luar bandar sekali gus memperkasakan usahawan tamu di kedua-dua negeri itu.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata Kerajaan MADANI menerusi KUSKOP menyediakan peruntukan RM20 juta untuk melaksanakan Projek Pembangunan Premis Tamu Desa tahun ini.
Beliau berkata ini termasuk peruntukan tambahan RM10 juta diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Program MADANI Rakyat di Tawau, Mei lepas.
“Tahun lalu, kita berjaya membina dan menaik taraf 98 premis tamu desa di seluruh Sabah dan Sarawak. Tahun ini, dengan peruntukan RM20 juta, saya berharap jumlah sama atau lebih dapat dibina,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pesta Kaamatan Kampung Pinasang Tamu Darat di Kota Belud seterusnya melancarkan premis tamu desa kampung itu yang siap sepenuhnya tahun ini melibatkan kos RM250,000.
Ewon berkata 14 tamu desa dibina di kawasan Kota Belud iaitu sebahagian daripada 98 premis tamu desa yang berjaya disiapkan di seluruh Sabah dan Sarawak tahun lepas.
“Saya dimaklumkan oleh pimpinan kampung, premis ini memberi manfaat besar kepada penduduk khususnya golongan ibu dan usahawan kecil yang berniaga setiap minggu. Ia bukan sahaja menyediakan ruang lebih selesa untuk berjualan tetapi boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti kemasyarakatan pada hari-hari lain,” katanya.
Menurutnya keperluan pembangunan premis tamu desa adalah berbeza bergantung kepada lokasi dan skop kerja ditentukan oleh Pejabat Daerah sama ada pembinaan baharu atau naik taraf membabitkan kos RM100,000 hingga RM300,000.
Setakat Mei lepas katanya permohonan untuk membina baharu atau menaik taraf premis tamu desa di Sabah mencecah RM40 juta termasuk permohonan dibawa daripada tahun lepas yang belum sempat dilaksanakan dan jumlah itu tidak termasuk permohonan daripada Sarawak.
“Walaupun bajet kita terhad namun apa yang penting adalah kesinambungan daripada apa yang telah dilaksanakan tahun lalu. Apa yang kita mulakan tahun lepas akan diteruskan dan diperluas tahun ini. Saya yakin program ini akan menjadi antara input utama kementerian dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (2026–2030),” katanya.
Menurutnya inisiatif tamu desa juga adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memberi perhatian khusus kepada keperluan luar bandar Sabah dan Sarawak selaras dengan agenda pembangunan inklusif negara.