the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, July 2, 2026
32.8 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Peluasan TVET kepada pelajar tahfiz lahirkan huffaz berkemahiran

PORT DICKSON: Langkah kerajaan untuk memperluaskan penawaran program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada pelajar tahfiz adalah terbaik dalam membentuk profesional tahfiz yang berkemahiran.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata ia sekali gus dapat melahirkan huffaz teknokrat MADANI yang cemerlang secara menyeluruh dari pelbagai aspek.

“Alhamdulillah ini merupakan satu pendekatan yang sangat berhikmah dan bersungguh-sungguh untuk memperkasakan pelajar tahfiz menerusi TVET dan inovasi daya cipta yang selari dengan konsep Maqasid Al-Shariah.

“Kita nak lihat para huffaz ini mempunyai kemahiran, ada kerjaya profesional dan pada masa sama mempunyai akhlak baik yang boleh memberi pengetahuan agama kepada masyarakat,“ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Penutup Nadwah Mahasiswa Timur Tengah 2025 di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan akan memperkenalkan Skim Pembiayaan Perkasa program TVET MADANI dan Dana Latihan TVET bagi menggalakkan penyertaan belia.

Beliau berkata penawaran program TVET juga akan turut diperluas kepada pelajar tahfiz bagi melahirkan huffaz teknokrat MADANI yang mempunyai nilai tambah kepakaran teknikal.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata program Nadwah Mahasiswa Timur Tengah selama tiga hari yang merupakan anjuran kali kedua itu disertai 200 mahasiswa Malaysia yang melanjutkan pelajaran di Timur Tengah termasuk Mesir, Jordan, Maghribi, Arab Saudi, Turkiye dan Emiriyah Arab Bersatu.

Beliau berkata ia bertujuan untuk berdialog secara langsung bersama mahasiswa mengenai konsep kepimpinan MADANI selain ilmu perundangan serta kenegaraan dalam menghadapi cabaran geopolitik dunia serta ekonomi masa kini.

“Alhamdulillah kita nampak kefahaman mereka ini (kepimpinan MADANI) semakin baik kita mahu membuatkan mereka sama-sama menyokong usaha gagasan MADANI yang sebenarnya dalam mencipta tamadun Malaysia berasaskan Maqasid Al-Shariah,“ katanya.

Beliau berkata ilmu dan pengetahuan yang ada pada mahasiswa terbabit akan menjadi lebih sempurna dengan pemahaman konsep minda MADANI yang lebih menyeluruh. – Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings