the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, January 15, 2026
21.2 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Pengarah syarikat didenda RM50,000 kemuka dokumen palsu untuk RTK 2.0

Seorang pengarah syarikat warga Bangladesh didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen kerana mengemukakan dokumen palsu kepada jabatan imigresen bagi program RTK 2.0.

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat warga Bangladesh didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana mengemukakan dokumen palsu kepada Jabatan Imigresen Malaysia bagi permohonan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK 2.0).

Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman itu selepas Mohammed Jasim, 43, mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan.

Mahkamah juga memerintahkan bapa lima anak itu menjalani hukuman penjara setahun jika gagal membayar denda.

Dia didakwa menggunakan surat penganugerahan sebuah syarikat bagi projek cadangan kondominium di Jalan Tun Razak yang diketahuinya sebagai palsu.

Kesalahan itu dilakukan di Bahagian Penguatkuasaan JIM di Putrajaya pada 27 September 2023.

Terdahulu, peguamnya merayu hukuman berbentuk denda atas alasan anak guamnya memberikan kerjasama baik kepada pihak berkuasa.

“Tertuduh sanggup mengambil penerbangan dari Bangladesh pada November 2025 selepas dihubungi pihak berkuasa,” kata peguam Farith Emier Farhan Morni.

Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip memohon hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh telah mengkhianati kepercayaan dua badan berkanun.

“Dia menggunakan dokumen palsu bagi projek terbabit,” katanya merujuk kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia.

Berdasarkan fakta kes, JIM mengeluarkan e-mel kepada syarikat tertuduh iaitu Nisa Resources Sdn Bhd bagi penetapan janji temu bagi permohonan RTK 2.0.

Permohonan itu adalah untuk 14 pekerja sektor pembinaan melalui Sistem Temujanji Online.

Tertuduh, melalui isterinya yang juga seorang pengarah syarikat, mengemukakan surat permohonan temujanji thumbprint bagi program itu.

Semasa janji temu di Putrajaya, tertuduh secara tidak jujur menggunakan satu dokumen palsu sebagai tulen iaitu surat penganugerahan daripada Syarikat Orion Management Corporation.

Dokumen itu kemudian disahkan sebagai palsu oleh pihak The Orion Condominium Management Corporation.

Mereka mengesahkan bahawa projek tidak wujud, format kepala surat juga salah dan mereka tidak pernah berurusan dengan Nisa Resources.

Related

spot_img

Latest

Get Ready for the Year of The Horse with Shopee’s CNY Master Shows and Unbeatable CNY Deals

This festive season, Shopee is making Chinese New Year shopping more exciting with its 12-hour CNY Livestream Marathon from 12PM to 12AM, every day from now till 18 February — bringing together entertainment, inspiration, and unbeatable value in one place.

Most Viewed

spot_img

Popular Categories