EAIC sahkan pegawai imigresen terlibat dalam salah laku ‘pasport terbang’ di KLIA, syor tindakan tatatertib kerana kelakuan tidak jujur.
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesahkan berlaku salah laku membabitkan seorang pegawai imigresen dalam aktiviti ‘pasport terbang’.
Insiden itu berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada 2 Jun tahun lepas.
Siasatan mendapati pegawai berkenaan memasukkan butiran penumpang yang masuk ke Malaysia ke dalam sistem MyIMMs tanpa kehadiran fizikal penumpang tersebut di kaunter.
Tindakan pegawai itu didapati tidak mematuhi garis panduan Sistem Pengurusan Kualiti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
EAIC menyatakan ia juga melanggar garis panduan rasmi yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Imigresen.
“Tindakan berkenaan merupakan suatu salah laku di bawah perenggan 24(1)(f) Akta 700,” menurut kenyataan EAIC.
Suruhanjaya itu telah merujuk pegawai terbabit kepada Pihak Berkuasa Tatatertib JIM.
EAIC mengesyorkan tindakan tatatertib diambil di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Syar itu adalah kerana berkelakuan tidak jujur dan tidak amanah di bawah perenggan 4(2)(f).
EAIC turut mengesyorkan tindakan di bawah perenggan 4(2)(g) peraturan sama, iaitu berkelakuan tidak bertanggungjawab.
‘Pasport terbang’ merujuk kepada situasi pasport warga asing diluluskan tanpa kehadiran pemilik di pusat pemeriksaan imigresen.








