Kerajaan merangka Akta Politeknik dan Kolej Komuniti, naik taraf 10 politeknik dan perluas pendidikan percuma kepada 10,000 pelajar miskin serta 3,000 pelajar OKU.
PUTRAJAYA: Kerajaan sedang merangka Akta Politeknik dan Kolej Komuniti serta merancang menaik taraf 10 politeknik secara berterusan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini adalah sebahagian daripada proses reformasi sektor pendidikan tinggi.
Beliau berkata kerajaan juga berusaha memperluas akses pendidikan percuma dan menstruktur semula program prauniversiti.
“Kementerian sedang merangka Akta Politeknik dan Kolej Komuniti dan 10 politeknik akan dinaik taraf secara berterusan,” katanya semasa melancarkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035.
Anwar mengulangi komitmen kerajaan terhadap penyediaan pendidikan percuma dari Tahun Satu hingga Tingkatan Enam.
“Sekarang daripada Tahun Satu hingga Tingkatan Enam adalah percuma termasuk elaun khas untuk pelajar,” jelasnya.
Beliau turut mengumumkan peningkatan besar dalam agenda pendidikan percuma di peringkat pengajian tinggi.
“Dalam Belanjawan yang lalu, sekitar 5,800 pelajar miskin tegar diberikan pendidikan percuma… hari ini, saya umumkan jumlah itu akan ditingkatkan kepada 10,000 pelajar kategori miskin melalui bantuan PTPTN,” katanya.
Perdana Menteri turut mengumumkan pendidikan percuma untuk kira-kira 3,000 pelajar orang kurang upaya (OKU) di institusi pengajian tinggi awam.
Bantuan itu berkuat kuasa serta-merta.
Anwar turut menyentuh isu minat membaca yang semakin merosot.
“Budaya membaca atau budaya iqra’ semakin luntur… kita mesti latih anak-anak membaca,” katanya.
RPN 2026-2035 diterajui bersama oleh Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan.
Pelaksanaan rancangan itu secara bersepadu mencerminkan keselarasan dasar pendidikan negara yang menyeluruh.









