the sun malaysia ipaper logo 150x150
Tuesday, June 23, 2026
22.2 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Tiga anggota Kastam mengaku tidak bersalah tuduhan rasuah

KUALA LUMPUR: Tiga anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang ditahan dalam Ops Samba 2.0 didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan di sini, hari ini atas pertuduhan menerima suapan untuk melepaskan lori barangan tanpa sebarang pemeriksaan.

Di hadapan Hakim Suzana Hussin, Shaharudin Suboh, 54, mengaku tidak bersalah atas 22 pertuduhan dan Alizan Wahid, 43, yang berdepan empat pertuduhan juga membuat pengakuan sama manakala Ismail Idris, 49, mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Berdasarkan 22 pertuduhan, Shaharudin sebagai Pembantu Kastam Gred WK22 yang bertugas di JKDM Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), didakwa telah memperoleh suapan iaitu wang berjumlah RM13,600 daripada seorang lelaki yang merupakan pemilik syarikat barangan import dan logistik melalui pemindahan dalam talian daripada akaun Maybank milik lelaki terbabit ke akaun Maybank milik tertuduh.

Ia sebagai dorongan untuk tidak memeriksa lori-lori milik syarikat terbabit yang membawa keluar barang dari kargo KLIA, yang mana kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Banking Berhad, Cawangan Bukit Damansara di sini, antara 30 Ogos 2017 dan 11 Julai 2023.

Alizan pula berdepan empat pertuduhan iaitu sebagai Pembantu Penguasa Kastam Gred WK19 didakwa memperoleh suapan berjumlah RM17,500 daripada individu sama untuk tujuan serupa, di Maybank Islamic Berhad Cawangan Taman Setiawangsa di sini, antara 26 Mei 2018 dan 28 Dis 2018.

Sementara itu, Ismail berdepan enam pertuduhan iaitu sebagai Pembantu Penguasa Kastam Gred WK22 didakwa memperoleh suapan berjumlah RM5,200 daripada individu sama untuk tujuan serupa, di Malayan Banking Berhad Cawangan Utama Kuala Lumpur, antara 17 Nov 2020 dan 19 Sept 2022.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Suzana membenarkan Shaharudin dan Alizan masing-masing diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan mereka perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sekiranya ada, melapor diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali selain tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes Shaharudin pada 2 Julai manakala Alizan pada 10 Julai ini.

Azura yang menetapkan sebutan kes Ismail pada 2 Julai, membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang sama.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Nurul Atiqah Mohamad Alias manakala peguam Ridha Abdah Subri mewakili Alizan dan Ismail serta peguam Iqhmar Syafiq Mohd Azmi mewakili Shaharudin.

Setakat ini, seramai 16 anggota JKDM yang ditahan dalam Ops Samba 2.0 telah didakwa di mahkamah seluruh negeri atas pertuduhan rasuah.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings