Wednesday, November 5, 2025
21.9 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Aktiviti perlombongan di hulu Sungai Perak diarah henti sementara

The Sun Webdesk

MB Perak arah henti sementara aktiviti perlombongan di hulu Sungai Perak berikutan insiden pencemaran air sungai bertukar kebiruan.

IPOH: Pihak yang menjalankan aktiviti perlombongan di hulu Sungai Perak dekat Gerik telah diarahkan menghentikan operasi buat sementara waktu.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata arahan itu dikeluarkan meskipun pihak terbabit mempunyai lesen yang sah.

“Buat sementara waktu mereka berhenti dahulu sehingga kita berpuas hati dengan laporan dan kajian,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Taat Setia MADANI Negeri Perak.

Beliau mengulas mengenai isu air di hulu Sungai Perak yang bertukar kebiruan minggu lepas, didakwa akibat perlombongan di kawasan berhampiran.

Saarani turut mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak serta ketua-ketua jabatan berkaitan menyiasat isu tersebut.

Jabatan terlibat termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Mineral dan Galian, Pejabat Tanah dan Galian serta Jabatan Kesihatan.

“Semalam saya dah telefon Pengarah Jabatan Mineral dan Galian, esok mereka ada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Puan Halizah,” katanya.

Beliau memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi selepas Mesyuarat Exco esok.

Mengenai keselamatan air sungai tersebut, Saarani berkata terdapat laporan awal mengenai ikan mati di kawasan terbabit.

“Bermakna ada berlaku pencemaran pada hari itu,” katanya.

Susulan laporan air sungai Perak bertukar warna kebiruan, Jabatan Alam Sekitar telah mengenal pasti tiga aktiviti perlombongan di bahagian hulu.

Aktiviti tersebut melibatkan satu lombong nadir bumi dan dua lombong bijih timah di kawasan Gerik.

Pada 21 Oktober lalu, gambar air Sungai Perak di Jambatan Kampung Sungai Papan yang kelihatan berwarna biru telah tular di media sosial. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories

spot_imgspot_img