Monday, November 17, 2025
31.1 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Negara rugi RM1.57 bilion akibat kebakaran

Kerugian akibat kebakaran di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga September 2025 melebihi RM1.57 bilion, kata Menteri KPKT Nga Kor Ming.

KUALA LUMPUR: Nilai kerugian akibat kebakaran di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga September tahun ini mencecah lebih RM1.57 bilion, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata situasi itu menuntut usaha pencegahan yang lebih gigih daripada semua pihak bagi mengekang insiden kebakaran daripada terus berlaku.

“Jumlah kerugian yang tinggi itu direkodkan walaupun anggota bomba bertungkus-lumus menjalankan pelbagai usaha termasuk pencegahan kebakaran,” katanya ketika berucap pada Majlis Sentuhan Kejayaan Menteri KPKT di Pusat Operasi K9 Taman Sri Sentosa hari ini.

Bagi memperkukuh keupayaan aset kebombaan, Nga berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sedang menggantikan 30 unit jentera Fire Rescue Tender berusia lebih 20 tahun dengan 30 unit baharu.

Penggantian itu dilaksanakan melalui Program Tanggungjawab Sosial Korporat oleh CLW Automobile Malaysia dengan nilai keseluruhan RM45 juta.

Dua unit Fire Rescue Tender telah diterima setakat ini manakala baki 28 unit akan dihantar secara berperingkat.

“Inisiatif berimpak tinggi ini dilihat mampu meminimumkan kerosakan jentera, mengurangkan kos pembaikan aset lama serta menjamin ketersediaan jentera,” katanya.

Sementara itu, Nga berkata KPKT yakin JBPM berada pada tahap kesiapsiagaan optimum untuk menghadapi kemungkinan banjir susulan Monsun Timur Laut tahun ini.

Persiapan itu merangkumi latihan simulasi, kesiapsiagaan anggota serta aset, penambahbaikan prosedur operasi standard dan pengukuhan pusat kawalan operasi.

“KPKT turut menekankan kepentingan koordinasi strategik antara semua agensi termasuk jabatan-jabatan di bawah kementerian ini dalam menghadapi cabaran sebelum, semasa dan selepas bencana,” katanya.

KPKT komited untuk terus menggerakkan Skuad Ihsan Madani bagi melaksanakan misi kemanusiaan semasa banjir serta kerja-kerja pembersihan pascabanjir. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories