Ketua Setiausaha Negara zahir ucapan tahniah kepada Perdana Menteri sempena ulang tahun ketiga pentadbiran Kerajaan MADANI
KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menzahirkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena ulang tahun ketiga pentadbiran Kerajaan MADANI.
Beliau berkata tiga tahun Malaysia MADANI berdiri megah dipimpin Perdana Menteri yang mengemudi bahtera negara dengan hikmah dan ketegasan.
“Tahniah PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim), semoga langkah kita terus teguh sederap selangkah, masa depan terus cerah, dan Malaysia terus gemilang di bawah gagasan Malaysia MADANI,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 pada 24 November 2022.
Pada 19 Januari 2023, Anwar memperkenalkan Malaysia MADANI sebagai usaha mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara.
MADANI diacu berteraskan enam rukun iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.
Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi akan menganjurkan Program Rancakkan MADANI di Dataran Putrajaya dari 5 hingga 7 Disember ini.
Program itu merupakan kesinambungan kepada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI dan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI.
Ia diadakan bagi memaparkan pencapaian, kemajuan dasar serta keberhasilan inisiatif 2025 secara telus kepada rakyat.
Program Rancakkan MADANI turut mempertemukan rakyat dengan pemimpin negara termasuk Perdana Menteri dan Jemaah Menteri. – Bernama







