KPWKM seru rakyat utamakan keselamatan hadapi banjir, JKM sedia aktifkan PPS tambahan dengan bekalan makanan dan keperluan asas mencukupi.
PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyeru rakyat mengutamakan keselamatan diri dan keluarga ketika menghadapi cuaca mencabar.
Menteri KPWKM Datuk Seri Nancy Shukri meminta penduduk kawasan berisiko mematuhi arahan pihak berkuasa dan segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) jika diarahkan.
“Utamakan keselamatan ahli keluarga, khususnya kanak-kanak, warga emas dan golongan orang kurang upaya (OKU),” katanya dalam kenyataan.
Nancy menasihatkan orang ramai mengelak kawasan berhampiran sungai, kawasan rendah dan lokasi mudah dinaiki air.
Mereka yang memerlukan bantuan boleh mendapatkan sokongan di PPS terdekat atau menghubungi saluran kecemasan rasmi.
KPWKM melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan terus memantau keadaan dan memastikan keluarga terkesan menerima bantuan secepat mungkin.
JKM telah digerakkan sejak awal bersama kerajaan negeri dan agensi bencana lain sebagai langkah kesiapsiagaan.
“JKM juga bersedia mengaktifkan PPS tambahan pada bila-bila masa sekiranya keadaan cuaca bertambah buruk,” jelas Nancy.
Bekalan makanan, selimut dan keperluan asas berada pada paras mencukupi dan akan diagihkan mengikut keperluan mangsa di lapangan.
Nancy menyatakan rasa dukacita terhadap dua kes kematian akibat banjir yang direkodkan di Kelantan.
Kematian pertama berlaku di Gua Musang pada 21 November dan kedua di Tanah Merah pada 26 November.
“Takziah kepada keluarga mangsa, dan semoga mereka diberi kekuatan menghadapi detik yang amat sukar ini,” ujarnya.
Setakat ini, 242 PPS beroperasi di seluruh negara melibatkan 27,489 mangsa daripada 9,033 keluarga.
Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran hujan sangat lebat dan berterusan di beberapa negeri.
Negeri terlibat termasuk Terengganu, Pahang, Selangor, Putrajaya dan Negeri Sembilan.
Perak, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Johor turut berada pada tahap amaran buruk dan waspada. – Bernama







