Sidang Dewan Rakyat hari ini membincangkan jumlah terkini hutang negara dan kemungkinan audit dalaman terhadap pegawai menteri.
KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat hari ini akan membincangkan jumlah terkini hutang negara serta kemungkinan audit dalaman terhadap pegawai-pegawai menteri.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Syahredzan Johan (PH-Bangi) meminta Perdana Menteri menyatakan prinsip kerajaan dalam mengurangkan pinjaman baharu.
Beliau juga meminta perincian strategi pembayaran hutang bagi menjamin defisit fiskal terus menurun.
Pada sesi yang sama, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) ingin tahu sama ada kerajaan akan melaksanakan audit dalaman terhadap pegawai menteri.
Soalan itu timbul susulan teguran Perdana Menteri supaya setiap menteri melaksanakan pemantauan dengan lebih tegas.
Pada sesi soal jawab lisan, Wong Chen (PH-Subang) meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan garis masa pelaksanaan Dasar Pengurusan Pelarian (DPP).
Beliau mahu memastikan pelarian berdaftar boleh mengakses pendidikan dan kesihatan melalui NGO atau institusi swasta.
Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) pula mengajukan soalan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Beliau bertanya punca ramai rakyat layak masih tidak mendapat rumah mampu milik walaupun banyak projek diumumkan.
Beliau juga meminta langkah kementerian menangani isu projek perumahan terbengkalai yang menjejaskan pembeli rumah pertama.
Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) meminta Menteri Kerja Raya menyatakan tahap kajian teknologi turapan asfalt terubah suai getah bekuan atau CMA.
Usai sesi soal jawab lisan, persidangan diteruskan dengan pembentangan dua rang undang-undang.
Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 dan RUU Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025 akan dibentangkan oleh Menteri Sumber Manusia.
Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat yang berlangsung selama 35 hari akan berakhir pada Khamis ini.







