Dua kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh dan dihanyut arus deras di sebuah longkang besar di Kajang, dengan operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan.
KUALA LUMPUR: Dua kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang besar di Kajang petang tadi.
Mereka dihanyutkan arus deras ketika cuba mengambil bola di Lorong 1/3A, Taman Prima Saujana.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan kecemasan pada jam 6.32 petang.
Kejadian itu melibatkan dua kanak-kanak berusia 12 dan 14 tahun.
Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang dengan enam anggota digerakkan ke lokasi.
Pasukan itu tiba di tempat kejadian pada jam 6.39 petang.
“Kerja-kerja mencari dan menyelamat sedang dijalankan di kawasan longkang utama oleh pasukan terlibat,” kata Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar.
Beliau juga berkata kedua-dua mangsa merupakan adik-beradik.
“Operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan,” katanya.







