the sun malaysia ipaper logo 150x150
Saturday, December 6, 2025
22.1 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

MPC perhebat suara rakyat dan industri dalam reformasi birokrasi tahun depan

MPC akan utamakan maklum balas rakyat dan industri serta pendekatan penyelesaian berasaskan masalah dalam pelaksanaan Reformasi Kerenah Birokrasi tahun depan

PUTRAJAYA: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) akan melaksanakan dua penambahbaikan utama tahun depan bagi memperkukuh pelaksanaan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB), iaitu memperhebat mekanisme maklum balas suara rakyat dan industri, serta mengutamakan pendekatan penyelesaian berasaskan masalah (problem-driven).

Ketua Pengarah MPC Datuk Zahid Ismail berkata suara rakyat dan peniaga atau industri akan dijadikan tema utama dalam merangka penyelesaian lebih tuntas, selaras dengan komitmen mengubah pendekatan sedia ada yang terlalu bertumpu kepada teknologi.

“Pendekatan baharu ini lebih khusus dan berfokus. Kita akan bekerjasama rapat dengan persatuan industri, termasuk mengadakan sesi libat urus dengan sektor tertentu seperti runcit di peringkat negeri dan persekutuan untuk mengenal pasti ‘pain point’ sebenar yang mereka hadapi.

“Kita juga akan menggerakkan usaha proof of concept bagi menilai keberkesanan penyelesaian teknologi sebelum dilaksanakan secara berskala besar, supaya setiap isu dapat ditangani dengan lebih sistematik,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menjadi panel Forum Kerenah Birokrasi: Analisis Pencapaian dan Islah Berterusan, sempena Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025, yang merupakan sebahagian Program Rancakkan MADANI.

Zahid berkata selepas dua tahun pelaksanaan, RKB menunjukkan perkembangan memberangsangkan dengan lebih 1,000 projek berjaya dilaksanakan setakat ini.

“Walaupun pencapaian dua tahun ini sangat membanggakan, kita tidak boleh berada dalam ‘comfort zone’. Prinsip islah atau penambahbaikan berterusan mesti diteruskan,” katanya.

Program Rancakkan MADANI yang bermula semalam menampilkan lebih 300 perkhidmatan sentuhan rakyat, karnival kerjaya, pameran interaktif, hiburan keluarga serta pelbagai tawaran istimewa.

Program berskala nasional anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) itu menyasarkan sekitar 300,000 pengunjung, dan dibuka dari 9 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu serta 9 pagi hingga 6 petang pada Ahad.

Perdana Menteri dijadual menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan pada 11 pagi esok.

Program Rancakkan MADANI merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI (PSBKM) dan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM), yang menjadi tradisi pelaporan tahunan kerajaan secara terus kepada rakyat. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories