JPJ Terengganu ambil tindakan ke atas 16,396 penunggang motosikal dalam operasi 2025, dengan lebih 24,000 saman dikeluarkan atas kesalahan tiada lesen dan insurans.
KUALA TERENGGANU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu telah mengambil tindakan terhadap 16,396 pemilik dan penunggang motosikal dalam Ops Motosikal yang dijalankan dari 1 Januari 2025 hingga 20 Disember.
Pengarah JPJ Terengganu Mohd Zamri Samion berkata tindakan itu diambil hasil pemeriksaan agresif terhadap 81,107 motosikal di seluruh negeri.
Sebanyak 24,954 saman telah dikeluarkan sepanjang tempoh tersebut.
Seramai 806 motosikal turut disita kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Antara kesalahan paling tinggi dikesan ialah tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans serta Lesen Memandu Kenderaan tamat tempoh,” katanya.
Kesalahan teknikal lazim termasuk nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, pengubahsuaian kenderaan dan ketiadaan cermin sisi.
JPJ turut mengeluarkan 5,803 notis panggilan temu siasat kepada penunggang motosikal atas kesalahan melanggar lampu isyarat merah.
Mohd Zamri berkata pihaknya memandang serius kesalahan itu dan akan mengambil tindakan lebih tegas pada masa depan.
Beliau berkata langkah itu bagi mengelakkan kejadian kemalangan serta kematian di jalan raya.
Dalam operasi berasingan, JPJ Terengganu mengeluarkan 193 saman terhadap kenderaan perdagangan sepanjang Ops Rentas Sempadan dari 15 hingga 17 Disember.
Operasi itu memfokuskan pemeriksaan permit, dokumen perjalanan, lesen memandu dan cukai jalan antarabangsa.
Sebanyak 342 kenderaan telah diperiksa dan 90 daripadanya dikenakan tindakan kerana melanggar undang-undang.








