Ketua jurulatih interim TFC, Tengku Hazman Raja Hassan, bertekad angkat prestasi pasukan untuk Liga M 2025/2026 dan raih semula kepercayaan penyokong
KUALA NERUS: Ketua jurulatih interim Terengganu FC (TFC) Tengku Hazman Raja Hassan bertekad mengangkat semula prestasi pasukan itu dalam Liga Malaysia 2025/2026.
Pengendali kelahiran Kelantan itu dilantik menggantikan Badrul Afzan Razali yang direhatkan serta-merta susulan prestasi kurang memberangsangkan.
Tengku Hazman berkata beliau sedar tanggungjawab berat yang bakal digalas bagi memulihkan reputasi skuad Penyu.
“Kepada penyokong, saya mohon supaya terus memberikan sokongan agar kita dapat sama-sama membina semula reputasi TFC di persada liga,” katanya.
Beliau berazam memberikan yang terbaik bagi meraih semula kepercayaan penyokong terhadap pasukan TFC.
Tengku Hazman yang berusia 48 tahun bukanlah asing dalam sukan bola sepak Terengganu.
Beliau pernah membantu TFC II melakar sejarah muncul juara sulung Piala Cabaran 2018.








