Polis Jasin tahan dua lelaki dan seorang wanita, rampas senjata api jenis shotgun dan pelbagai amunisi dalam serbuan di sebuah rumah
JASIN: Polis menahan tiga individu dan merampas sepucuk senjata api bersama amunisi dalam serbuan di sebuah rumah di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Jasin Supt Lee Robert berkata serbuan kira-kira 5.30 petang semalam itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Jasin.
“Dalam serbuan berkenaan, polis menahan dua lelaki berusia 54 dan 45 tahun serta seorang wanita berusia 22 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Turut ditemukan ialah senjata api dan amunisi yang diletakkan di atas sebuah meja di bawah garaj rumah terbabit.
Semakan lanjut mendapati kedua-dua lelaki berkenaan masing-masing mempunyai tiga dan tujuh rekod lampau melibatkan kes jenayah dan dadah.
Wanita terbabit pula tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Antara barangan yang dirampas ialah selaras senjata api jenis shotgun berwarna coklat.
Polis juga merampas satu unit penghadang tangan senjata api jenis shotgun serta satu unit tali pinggang peluru.
Selain itu, turut dirampas 10 butir kelongsong peluru jenis 12 bore berwarna putih.
Polis juga merampas masing-masing satu butir kelongsong peluru jenis 12 bore berwarna merah, hijau dan coklat, serta satu unit sarung senjata api.
Ketiga-tiga suspek direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.








