Pengurusan Thaipusam di Batu Caves tambah 300 tong sampah, perketat kawalan keselamatan dengan kerjasama DBKL dan PDRM bagi sambutan Ahad ini.
KUALA LUMPUR: Pengurusan sambutan Thaipusam di Batu Caves meningkatkan kawalan kebersihan dengan menambah lebih 300 tong sampah kecil dan tong bersaiz besar.
Langkah ini selaras dengan penguatkuasaan larangan membuang sampah di tempat awam yang berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu.
Pemegang Amanah Kuil Sri Mahamariamman Devasthanam Datuk N. Sivakumar berkata ia bagi memastikan kawasan kekal bersih dan teratur sepanjang perayaan.
Beliau menasihati penganut dan pengunjung supaya mematuhi garis panduan serta membuang sampah di tempat disediakan.
Mengenai persiapan sambutan, Sivakumar berkata perancangan dibuat lebih awal dengan kerjasama rapat pelbagai agensi kerajaan.
Persiapan bermula sejak 30 Januari termasuk pergerakan pedati, manakala persiapan untuk pembawa paal kudam dan kavadi dirancang dua hingga tiga bulan sebelumnya.
Kerjasama rapat dijalankan dengan agensi seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Polis Diraja Malaysia.
Pada sidang akhbar, Sivakumar berkata pengunjung tidak dibenarkan membawa barangan berbahaya ke kawasan sambutan.
Pihak pengurusan dan agensi keselamatan akan memantau keadaan secara berterusan dan mengambil tindakan segera terhadap sebarang pelanggaran.
Thaipusam yang jatuh pada Ahad ini adalah antara perayaan Hindu paling penting dan acara kebudayaan utama di Malaysia.
Batu Caves kekal sebagai tumpuan utama sambutan perayaan tersebut.








