the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, June 25, 2026
24.5 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Laporan cubaan culik murid sekolah didapati palsu kerana tidak mahu ke sekolah

SHAH ALAM: Polis mengesahkan dakwaan kejadian cubaan culik seorang murid sekolah menengah yang tular di media sosial adalah palsu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata siasatan mendapati murid lelaki berumur 13 tahun itu membuat laporan palsu sebagai alasan untuk tidak ke sekolah.

Beliau berkata pihak polis menerima laporan daripada mangsa pada pukul 9.22 pagi 9 September berhubung cubaan diculik ketika sedang berjalan kaki ke sekolah.

Siasatan mendapati mangsa telah memberitahu bapanya yang berumur 37 tahun mengenai kejadian itu sebelum kedua-duanya hadir ke Bahagian Siasatan Jenayah IPD Shah Alam.

Soal siasat yang dijalankan mendapati laporan yang dibuat oleh mangsa adalah tidak benar sama sekali.

Mohd Iqbal berkata mangsa mengaku membuat laporan polis untuk dijadikan alasan kepada bapanya kerana tidak mahu ke sekolah akibat kasut sekolah terkena najis kucing.

Siasatan tidak diteruskan memandangkan mangsa masih bersekolah dan amaran keras telah diberikan kepada pelajar serta bapanya berhubung laporan palsu tersebut.

Kes telah selesai disiasat dan bapa mangsa telah membuat penarikan laporan polis bersabit Sek 6/11404/2025.

Bapa mangsa telah dimaklumkan mengenai kejadian sebenar yang berlaku sebelum membuat penarikan balik laporan.

Mohd Iqbal menasihati mana-mana individu agar tidak membuat sebarang laporan palsu kerana boleh disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, individu boleh dihukum penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Kejadian ini mula tular menerusi aplikasi WhatsApp berikutan laporan polis yang dibuat oleh pelajar sekolah berkenaan cubaan diculik. – Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings