Mahkamah Tinggi Shah Alam tolak permohonan Ismanira Abdul Manaf untuk tangguhkan hukuman penjara lima tahun atas kes pengabaian anak autistik.
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Ismanira Abdul Manaf untuk menangguhkan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atasnya.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas mendapati tiada keadaan khas yang membolehkan penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan.
“Setelah meneliti afidavit pemohon dan responden, juga hujahan bertulis kedua-dua pihak dan mendengar hujahan lisan, mahkamah membuat keputusan bahawa permohonan untuk penangguhan pelaksanaan hukuman ini ditolak,” katanya.
Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izham Ali dan Ahmad Iqbal Azman manakala pembelaan diwakili peguam Haresh Mahadevan.
Ismanira, 30, memfailkan permohonan itu pada 19 November lepas.
Pada 31 Oktober lepas, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Ismanira.
Wanita itu didapati bersalah mengabaikan anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun dan autistik, sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Hakim Dr Syahliza Warnoh memerintahkan Ismanira menjalani hukuman penjara bermula 31 Oktober lepas.
Beliau turut diarah menandatangani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin dan cagaran RM3,000.
Ismanira juga diarah menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.








