MCMC pantau pematuhan Astro terhadap Kod Amalan Am Pengguna, pastikan ketelusan maklumat dan kejelasan kontrak untuk pengguna.
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa memantau pematuhan pemberi perkhidmatan termasuk Astro bagi memastikan keperluan ketelusan maklumat dan kejelasan kontrak dipatuhi.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pemantauan itu dilaksanakan selaras dengan Kod Amalan Am Pengguna 2022 (GCC), yang mewajibkan penyedia perkhidmatan memaklumkan pengguna tentang semua terma dan syarat kontrak sebelum sesuatu perjanjian dimeterai.
“Hal ini termasuk tanggungjawab yang perlu dipatuhi oleh pengguna serta implikasi sekiranya berlaku pelanggaran kontrak,” katanya di Dewan Negara.
Fahmi berkata kegagalan pemberi perkhidmatan mematuhi GCC boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 242 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda hingga RM100,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Beliau turut menegaskan bahawa pengguna juga bertanggungjawab membuat pertimbangan secara teliti sebelum melanggan sesuatu perkhidmatan, termasuk memahami tempoh komitmen dan implikasi penamatan kontrak awal.
Mengenai langkah sama ada kementerian bersedia mengarahkan Astro mengeluarkan notis amaran sebelum tindakan undang-undang diambil terhadap peniaga kecil, Fahmi menjelaskan sebarang tindakan undang-undang merupakan keputusan komersial berdasarkan terma kontrak.
“Astro menawarkan dua jenis pakej langganan utama, iaitu pakej komersial untuk premis perniagaan dengan hak tontonan awam, manakala pakej kediaman hanya bagi tontonan peribadi di rumah,” katanya.
Menjawab soalan tambahan mengenai pemantauan MCMC terhadap sumbangan Astro kepada pembangunan kandungan tempatan, Fahmi berkata bagi lesen penyiaran baru dikeluarkan oleh MCMC, kerajaan tidak lagi menetapkan kuota kandungan tempatan.
“Perkara (dasar) ini timbul sewaktu perbincangan mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dan ingin saya jelaskan tiada lagi kuota itu bagi lesen yang baharu,” jelasnya.








