EcoCeres mula operasi di Johor, hantar bahan api mampan ke pasaran global dan cipta 300 pekerjaan premium, sokong pembangunan pendidikan negeri.
JOHOR BAHRU: Pelaburan syarikat global EcoCeres Renewable Fuels di Tanjung Langsat, Pasir Gudang bakal meletakkan Johor dalam rantaian bekalan global bahan api masa hadapan.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi (gambar) berkata syarikat pengeluaran bahan api mampan dan rendah karbon itu sudah memasuki fasa operasi.
“Kehadiran EcoCeres di Johor membuktikan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap keupayaan negeri ini sebagai hab industri hijau dan peralihan tenaga di Asia Tenggara,” katanya.
Beliau menambah Johor akan terus meletakkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan pilihan serta hab teknologi dan industri bernilai tinggi di peringkat serantau.
Onn Hafiz berkata syarikat itu sudah memulakan penghantaran bahan api mampan ke pasaran antarabangsa.
Kehadiran EcoCeres memberi manfaat kepada lebih 300 peluang pekerjaan bergaji premium dan berkualiti tinggi.
Sebanyak 185 daripadanya telah diisi oleh anak-anak Johor.
“Julat gaji premium sekitar RM3,000 hingga RM15,000 selari dengan tahap kepakaran, kemahiran teknikal serta teknologi operasi berintensif tinggi yang digunakan,” jelasnya.
Syarikat yang turut terlibat dalam pengeluaran bahan api penerbangan mampan (SAF) itu juga menyalurkan sumbangan strategik kepada Tabung Kebajikan dan Pelajaran Yayasan Pelajaran Johor (YPJ).
Inisiatif itu bertujuan menyokong pembangunan kemahiran serta latihan berterusan bagi melahirkan tenaga kerja tempatan yang lebih berdaya saing.








