Seorang pemandu van warga Thailand didakwa di Mahkamah Majistret Jitra atas tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang wanita
JITRA: Seorang pemandu van warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal wanita.
Yusof Senkonam, 60, didakwa menyebabkan kematian Fatin Nursyafikah Haris Bawijad, 22, di persimpangan lampu isyarat RTC Napoh, Jalan Alor Setar-Bukit Kayu Hitam pada 10.30 malam 15 Jan lepas.
Tiada pengakuan direkodkan kerana tertuduh tidak memahami sepenuhnya kertas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri.
Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda maksimum RM50,000 jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Asyiqin Hedzir manakala tertuduh belum melantik peguam.
Tiada jaminan ditawarkan memandangkan tiada pengakuan direkodkan dan mahkamah menetapkan 8 Feb depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan khidmat jurubahasa Thai.








