Seorang wanita berusia 89 tahun maut selepas rumahnya musnah hampir sepenuhnya dalam kebakaran di Jalan Tok Guru, Kota Bharu.
KOTA BHARU: Seorang wanita warga emas berusia 89 tahun maut selepas kediamannya musnah hampir sepenuhnya dalam satu kebakaran.
Kejadian berlaku berhampiran Jalan Tok Guru petang tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu Satyuti Satar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.58 petang.
Sebuah rumah jenis sementara berkeluasan kira-kira 5×5 meter musnah 98 peratus.
“Kebakaran itu mengakibatkan seorang mangsa perempuan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Seorang saksi, Anis Sutrliati Mohamad, 46, berkata dia terdengar bunyi seakan-akan objek jatuh.
Beliau kemudian ternampak mangsa melambai tangan sambil menjerit meminta pertolongan.
“Api sedang marak ketika itu dan saya ternampak mangsa terjatuh ke bahagian bawah rumah,” katanya.
Anis berkata dia tidak dapat membantu kerana haba terlalu panas dan terus menghubungi pihak bomba.
Beliau menyatakan warga emas tersebut sudah uzur serta mengalami kesukaran untuk berjalan.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Azmir Damiri mengesahkan kejadian tersebut.
Beliau memaklumkan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.








