KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Wilayah Persekutuan.
Ucapan itu dizahirkan Seri Paduka Baginda berdua melalui poster yang dimuat naik dalam Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Sultan Ibrahim melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara, semalam.
Seri Paduka Baginda menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, Selasa lalu, selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 31 Jan 2019.
Hari Wilayah Persekutuan disambut pada 1 Feb setiap tahun bagi memperingati pengisytiharan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan.
Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1974 manakala Labuan pada 1984 dan Putrajaya pada 2001. -Bernama