KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu melupuskan empat bot nelayan Vietnam yang dilucut hak untuk dijadikan tukun tiruan di perairan negeri itu.
Pengarahnya Kepten Maritim Khairulanuar Abd Majid berkata bot yang dirampas dalam Op Kuda Laut dan Op Naga Barat itu ditenggelamkan di kawasan berhampiran Pulau Susu Dara di Besut hari ini.
Beliau berkata sebanyak 20 bot lagi dijangka akan ditenggelam dan dilupuskan untuk dijadikan tukun pada tahun ini dalam usaha memulihara dan menggalakkan biodiversiti marin di perairan Terengganu.
“Bot yang dilupuskan ini adalah bot nelayan asing yang telah dilucut hak oleh mahkamah sepanjang 2022. Proses pelupusan yang turut mendapat kerjasama Jabatan Laut Malaysia dan Institut Marin Asia Tenggara ini agak mencabar kerana hujan lebat, ombak bergelora dan angin kencang,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairulanuar berkata sehingga kini sebanyak 165 bot telah dilupuskan menerusi kaedah penenggelaman tukun dan hancur musnah yang dijalankan di sepanjang perairan Terengganu.
Beliau berkata ia menunjukkan tahap kesungguhan APMM dalam mengekang dan membanteras kemasukan nelayan asing terutama Vietnam yang seakan tidak serik menceroboh perairan negara.
“Kami amat mengharapkan kerjasama daripada komuniti maritim Terengganu untuk melapor sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan kejadian kecemasan yang berlaku di laut,“ katanya. -Bernama