JOHOR BAHRU: Bekas pengerusi Koperasi Felda Selancar 3, Pahang, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 15 pertuduhan memalsukan cek milik Koperasi Peneroka Felda Selancar 3 bernilai RM34,450, lima tahun lepas.
Saad Rajali, 66, yang juga peneroka, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.
Mengikut pertuduhan, Saad yang ketika itu memegang jawatan tersebut, didakwa menggunakan cek milik Koperasi Peneroka Felda Selancar 3 Pahang Bhd atas nama lapan peneroka berlainan, yang ia adalah palsu.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di sebuah bank di Segamat dengan nilai antara RM600 sehingga RM5,000 bermula pada 27 Sept 2019 sehingga 18 Okt 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.
Mahkamah membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam diikat jamin RM14,000 dengan syarat tambahan melapor diri di Pejabat SPRM Segamat sebulan sekali serta menyerahkan pasport kepada mahkamah dan menetapkan 23 Mac depan untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan mengemukakan fakta kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rifah Izzati Abdul Mutalif. -Bernama