KUALA LUMPUR: Seramai 100,646 pekerja asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara dalam sektor pembinaan gagal dikesan selepas program pemutihan dilaksanakan Construction Labour Exchange Centre Bhd.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan perkara itu dalam sidang media hari ini.
Beliau berkata kerajaan akan melaksanakan langkah serta tindakan punitif terhadap majikan dan pekerja asing sektor pembinaan yang melakukan kesalahan.
“Mereka masuk, mereka pegang PLKS sektor pembinaan, tetapi apabila dibuat pemutihan oleh CLAB, kita tidak dapat kesan.”
“Kalau mereka salah guna pas, kita akan ambil tindakan ikut kesalahan itu,“ tegas Saifuddin.
Perkara itu didedahkan susulan pembentangan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia dalam mesyuarat jawatankuasa bersama.
Mesyaurat tersebut merupakan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Keempat Belas.
Saifuddin menegaskan pekerja asing yang pas mereka sudah tamat perlu menandatangani memo check out dan meninggalkan negara.
“Kalau mereka tidak meninggalkan negara, kita akan jejaki mereka,“ kata beliau. - Bernama