GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan kira-kira 112 kanak-kanak Palestin dimasukkan ke hospital setiap hari di Gaza akibat kekurangan zat makanan yang teruk, kesan langsung daripada sekatan berterusan dan serangan tentera Israel ke atas wilayah itu, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).
Dalam kenyataan media, Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menyifatkan situasi kemanusiaan di Gaza telah “melepasi tahap malapetaka”, sambil merujuk kepada kesan dahsyat akibat kepungan dan serangan ketenteraan Israel.
Beliau memaklumkan bahawa daripada 36 hospital di Semenanjung Gaza, hanya 17 yang beroperasi secara separa dan tidak ada yang berfungsi di utara Gaza dan Rafah di selatan - kawasan yang paling teruk terjejas akibat konflik yang berterusan.
Dr Tedros turut melaporkan sekurang-kurangnya 500 orang terbunuh ketika cuba mendapatkan makanan di pusat agihan bantuan yang dikawal oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel, yang beroperasi di luar sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Beliau menambah bahawa WHO dapat memasuki Gaza pada minggu ini buat pertama kali sejak 2 Mac, namun hanya dengan “kapasiti yang sangat terhad,” sekali gus menggariskan kesukaran melampau yang dihadapi agensi kemanusiaan untuk menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Menurut Tedros, kebimbangan masyarakat antarabangsa terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza di mana kebuluran, pemindahan paksa penduduk dan perkhidmatan kesihatan yang lumpuh mendorong orang awam — khususnya kanak-kanak — ke ambang kelangsungan hidup di tengah-tengah serangan Israel yang berterusan.