KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,171 projek perumahan swasta sakit dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM113.55 bilion berjaya dipulihkan oleh Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Aiman Athirah Sabu menyatakan bahawa kejayaan ini melibatkan 139,848 unit rumah sejak mesyuarat pertama TFST pada 2023.
Bagi tahun 2025 sehingga Jun lalu, TFST berjaya memulihkan 244 projek perumahan swasta yang melibatkan 27,101 unit rumah dengan GDV RM21.07 bilion.
Lima projek terbengkalai juga berjaya disiapkan sepenuhnya, melibatkan 887 unit rumah bernilai RM55.74 juta, dengan memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).
Projek-projek tersebut termasuk Taman Meru Makmur dan Pangsapuri Impian Meru di Klang, Selangor, serta Taman Mega 1 di Kemaman, Terengganu.
Selain itu, Taman Desa Kempas Fasa 3 di Johor dan Taman Megah Edora di Kelantan turut disenaraikan sebagai projek yang berjaya dipulihkan.
Sehingga kini, TFST memantau 233 projek lewat, 360 projek sakit, dan 109 projek terbengkalai di seluruh negara.
Bagi projek Residensi Hektar Gombak, Aiman Athirah menyatakan perkembangan positif dengan pemaju baharu, Bina Permai Sdn Bhd, bersetuju melaksanakan kerja lebih masa bagi mempercepatkan penyiapan. - Bernama