IPOH: Dua belas pelayan pelanggan (GRO) warga Vietnam ditahan sewaktu leka melayan pelanggan di sebuah pusat hiburan dalam operasi di sekitar daerah Kinta dekat sini, semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata tiga premis yang terdiri daripada pusat hiburan, restoran dan premis perniagaan diperiksa dalam operasi selama lima jam yang bermula pada pukul 7 malam itu.

Beliau berkata semasa diserbu semua GRO tidak dapat melarikan diri kerana tidak menyedari kehadiran pihak berkuasa, dan pihaknya turut menahan empat lelaki warga Myammar yang bekerja sebagai pelayan bar berkenaan.

“Pihak penguat kuasa turut menahan 12 pekerja restoran dan lima orang pekerja di kedai mencuci kereta di dua lokasi yang berlainan dalam operasi itu,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Meor Hezbullah berkata kesemua warga asing ditahan di Depot Imigresen Ipoh di sini bagi tujuan siasatan.