KUALA NERUS: Seramai 12 pegawai dan 109 anggota Tentera Darat berjaya menamatkan Kursus Asas Pasukan Aturgerak Cepat (APAC) Decentralised Siri 2/2021 di pekarangan Jambatan Angkat Terengganu di sini hari ini.
Panglima 10 Briged (Para) Brig Jen Khairul Azmizal Ahmad Natal berkata kursus tersebut mempunyai sedikit kelainan kerana buat julung kalinya diadakan di luar Kem Terendak, Melaka dan dipertanggungjawabkan kepada Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para) sebagai pasukan penganjur.
“Secara dasarnya, kursus ini merupakan kursus lazim anjuran 10 Briged (Para) yang berpusat di Kem Terendak namun kali ini ia dilaksanakan di Kem Batalion 18 Rejimen Askar Melayu Diraja Seberang Takir.
“Tempoh kursus adalah selama empat minggu bertujuan membina, membentuk, mengintegrasi pengetahuan, kemahiran serta sikap sebagai seorang anggota Pasukan Aturgerak Cepat (PAC),“ katanya ketika berucap pada majlis penutup kursus berkenaan di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Antara pengisian dalam acara penutup tersebut adalah demonstrasi dinamik berkonsepkan aturgerak elemen 10 Briged (Para) yang merangkumi aspek penerjunan bebas, tembakan penembak tepat, ‘fast roping’ dan serangan platun ke kawasan musuh.
Acara kemuncak ialah penyampaian Beret Merun dan Sayap Berdarah kepada pegawai dan anggota yang telah tamat kursus. - Bernama