BALIK PULAU: Polis menahan 14 individu termasuk seorang wanita dalam operasi pencegahan jenayah bersepadu samseng jalanan dilaksanakan bermula 11 malam hingga 5 pagi ini, di daerah Barat Daya di sini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata kesemua yang ditahan berusia 28 hingga 67 tahun dan ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah.

“Semua yang ditahan termasuk seorang warga emas adalah penunggang motosikal dan pemandu kereta.

“Mereka direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 6 dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,“ katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Kamarul Rizal berkata sebanyak 19 saman dikeluarkan sepanjang operasi yang dijalankan oleh 44 pegawai dan anggota polis bagi mencegah kegiatan lumba haram dan jenayah di kawasan hotspot di daerah Balik Pulau terutamanya pada hujung minggu.